Peruntukan SYUKUR RM339.16 juta diperluas kepada 140,000 penerima

IMG 7782

TUARAN : 17 June 2026 – Kerajaan Sabah memperuntukkan RM339.16 juta untuk Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) tahun ini dengan jumlah penerima bantuan diperluaskan kepada 140,000 orang berbanding 100,000 penerima tahun lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata bantuan SYUKUR telah distruktur semula kepada kadar RM200 sebulan sebagai pelengkap kepada inisiatif Kerajaan Persekutuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Katanya, penstrukturan semula itu membolehkan lebih ramai rakyat Sabah menerima bantuan kewangan secara bersasar.

“Penstrukturan semula program SYUKUR ini membolehkan jumlah penerima diperluaskan dari 100,000 orang pada tahun lalu ke 140,000 penerima tahun ini.

“Sekali gus memastikan lebih ramai rakyat Sabah mendapat manfaat dari bantuan kerajaan ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Outreach SYUKUR Daerah Tuaran di Dewan Seri Sulaman, pada Selasa.

Hajiji berkata bantuan SYUKUR dibayar secara berfasa dengan setiap penerima menerima RM600 secara sekali gus untuk tempoh tiga bulan yang akan dikreditkan ke akaun masing-masing.

Beliau berkata pembayaran Fasa 1 telah mula disalurkan kepada penerima yang layak pada 11 Mac lalu, manakala pembayaran Fasa 2 secara dalam talian mula dikreditkan ke akaun penerima bermula 23 Mei.

“Saya amat berbesar hati memaklumkan pembayaran SYUKUR Fasa 2 untuk agihan pertama secara tunai dibuka bermula 18 hingga 23 Jun 2026 kepada penerima yang layak di seluruh negeri melibatkan seramai 17,848 penerima.

“Pembayaran ini melibatkan bantuan sebanyak RM600 sekali gus untuk tempoh April hingga Jun 2026,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Sabah berjaya mencapai sifar Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar dari angka yang dikunci pada Januari 2025 melibatkan seramai 10,825 KIR.

Katanya, berdasarkan data eKasih sehingga 31 Mei 2026, jumlah KIR miskin tegar yang dikunci pada Januari tahun ini berjaya dikurangkan 100 peratus hasil pelaksanaan pelbagai intervensi bantuan yang dilaksanakan secara bersepadu oleh kerajaan negeri dan Persekutuan.

Menurutnya, pendekatan berasaskan data, penyelarasan bantuan menerusi Pangkalan Data Negeri Sabah (PADANS) dan eKasih serta pelaksanaan bantuan secara bersasar telah membawa perubahan signifikan kepada golongan sasar.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh usaha membasmi kemiskinan kerana masih terdapat 57,710 KIR dalam kategori miskin setakat 31 Mei 2026 berbanding 70,298 KIR pada Januari tahun ini, iaitu penurunan 17.9 peratus dalam tempoh empat bulan.

“Pencapaian ini bukanlah noktah kepada perjuangan kita. Kerajaan negeri menyedari masih terdapat rakyat yang memerlukan perhatian dan bantuan,” katanya.

Pada majlis itu, Hajiji turut menyampaikan bantuan tunai RM600 kepada 50 penerima Program SYUKUR.

Turut hadir Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai dan Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal