KENINGAU: 16 Mei 2026 – Sepuluh pasukan yang muncul juara pada Kejohanan Sukan Kolej Vokasional (SUKOV) Zon Sabah dan Labuan 2026 bakal membawa cabaran ke peringkat kebangsaan yang dijadual berlangsung di Kelantan dari 10 hingga 15 Ogos depan.
Kejohanan yang menghimpunkan atlet dari sembilan kolej vokasional di zon Sabah dan Labuan itu menampilkan saingan sengit dalam 10 acara sukan, sekali gus menjadi platform penting dalam mencungkil bakat dan melahirkan atlet berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Liawan, Datuk Azman Hj Ruslan, memuji pencapaian pelajar kolej vokasional di zon Sabah dan Labuan yang sering mengharumkan nama negeri melalui penyertaan dalam pelbagai kejohanan, termasuk di peringkat antarabangsa.
“Kejayaan tersebut membuktikan kemampuan institusi pendidikan vokasional dalam melahirkan atlet yang berkualiti, berdaya saing dan berpotensi tinggi,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Sukan Kolej Vokasional (SUKOV) Zon Sabah dan Labuan di Kompleks Sukan Keningau.
Menurut beliau, SUKOV bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat, malah berperanan penting dalam melahirkan generasi atlet yang mampu mengharumkan nama negeri dan negara pada masa hadapan.
Sementara itu, Pengarah KV Keningau merangkap pengelola kejohanan, Lumang anak Lang, menyifatkan penganjuran SUKOV Zon Sabah dan Labuan 2026 sebagai satu kejayaan hasil komitmen tinggi semua pihak yang terlibat.
Beliau berkata, kelancaran penganjuran dan semangat kesukanan yang ditunjukkan para atlet membuktikan keupayaan KV Keningau dalam mengendalikan acara berskala besar dengan cemerlang.
Kolej Vokasional (KV) Lahad Datu muncul juara keseluruhan selepas mengumpul kutipan mata tertinggi, selain mengungguli acara olahraga dan bola sepak.
Selaku tuan rumah, KV Keningau turut mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih kejuaraan dalam acara ragbi, bola jaring dan badminton.
KV Tawau pula menjuarai acara sepak takraw kategori double dan bola tampar wanita, manakala KV Beaufort muncul juara kategori sepak takraw antara beregu dan KV Kudat mengungguli acara bola tampar lelaki, sementara KV Likas menjuarai acara sofbol.
Selain acara sukan, pertandingan KV Idol yang menjadi acara sampingan tahunan turut memeriahkan kejohanan. KV Keningau muncul juara kategori solo, manakala KV Kudat memenangi kategori duet.
