PENAMPANG: 15 Jun 2026 – Seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun ditemui maut dalam keadaan tertiarap di atas laluan kebun di kawasan hutan Kampung Togudon, kira-kira jam 6 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Bin Newton berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat mangsa sebelum sepasukan pegawai dan anggota polis digerakkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa kali terakhir dilihat oleh ahli keluarganya pada 10 Jun lalu sebelum memasuki kawasan hutan berkenaan bagi memeriksa dan menjaga pukat kelawar miliknya.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian menemukan sebuah mesin pemotong kayu (chainsaw) dan beberapa barangan peribadi milik mangsa berhampiran tempat mayat ditemui,” katanya.
Berdasarkan pemerhatian awal, mangsa dipercayai mengalami kecederaan parah akibat dibidas oleh pokok yang ditebang sendiri.
Pemeriksaan tempat kejadian telah dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Penampang serta Pasukan Forensik D10, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan setakat ini tiada unsur jenayah dikesan yang boleh dikaitkan dengan kejadian berkenaan.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk bedah siasat menentukan punca sebenar kematian.
Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut.
sumber: polis daerah Penampang
