TOKYO: 10 Jun 2026 – Malaysia bukan sahaja mahu muncul sebagai Negara AI menjelang 2030, malah berhasrat membantu membentuk peradaban digital yang berteraskan nilai kemanusiaan, keadilan dan kemakmuran bersama.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) membuka ruang baharu kepada kemajuan manusia, namun cabaran sebenar adalah memastikan teknologi terus dipandu oleh hikmah, ihsan dan tanggungjawab moral.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan khas bertajuk Humanity in a Human-Machine Civilisation di The University of Tokyo selepas mengadakan pertemuan dengan presidennya, Teruo Fujii.
Menurut Anwar, Asia tidak seharusnya memasuki era AI hanya sebagai pasaran, pusat pembuatan atau sumber data, sebaliknya perlu memainkan peranan dalam membentuk sebuah peradaban digital yang memberi manfaat kepada manusia.
“Ukuran sebenar kemajuan bukanlah pada kecanggihan mesin dan teknologi yang kita hasilkan, tetapi pada sejauh mana ia mengangkat martabat manusia dan memperkukuh keadilan sejagat,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap konflik dan penderitaan yang masih berlaku di pelbagai wilayah dunia walaupun manusia mencapai kemajuan teknologi yang luar biasa.
Katanya, tragedi seperti konflik di Gaza, Iran dan Lubnan menunjukkan bahawa sebahagian teknologi yang dikaitkan dengan kemajuan turut berpotensi digunakan untuk memperhebat penindasan dan peperangan.
Dalam syarahan itu, Anwar turut menyentuh konsep ningen yang diperkenalkan ahli falsafah Jepun, Watsuji Tetsurō, yang menekankan bahawa manusia dibentuk melalui hubungan dengan keluarga, masyarakat, sejarah dan pengalaman hidup bersama.

Menurut beliau, teknologi mungkin mampu menghasilkan jawapan yang meyakinkan, namun tidak dapat memahami pengalaman manusia seperti kehilangan, kasih sayang, penyesalan dan nilai yang membentuk pertimbangan moral.
Beliau berkata, masa depan AI juga berkait rapat dengan soal kuasa dan kedaulatan, justeru setiap negara perlu mempunyai keupayaan untuk memahami, mengurus dan menentukan hala tuju teknologi yang digunakan oleh masyarakatnya.
“Cabaran kita bukan untuk menghalang kemajuan, tetapi memastikan kemajuan itu dipandu oleh nilai, disandarkan kepada hikmah dan ihsan, serta menjunjung tanggungjawab dan kepedulian sesama insan,” katanya.
