KOTA KINABALU: 9 Jun 2026 – Kerajaan negeri Sabah akan memperkukuhkan kerjasama antara pelbagai agensi untuk menangani pelbagai masalah pengguna masa kini, termasuk penipuan dalam talian, kos sara hidup yang tinggi, keselamatan makanan, dan urusan transaksi digital.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julitah Majungki, berkata pendekatan ini penting kerana isu-isu pengguna sekarang melibatkan banyak sektor. Ia tidak boleh diselesaikan oleh satu agensi sahaja.
Beliau menyatakan demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Gerakan Pengguna Negeri (GPN) Sabah hari ini.
Menurut Datuk Julita, penggunaan platform digital yang semakin meningkat turut menyebabkan risiko penipuan dalam talian, penyalahgunaan data peribadi, dan penyebaran maklumat palsu menjadi lebih tinggi.
Katanya, “Scammer (penipu) bergerak sangat pantas. Justeru, kesedaran dan tindakan semua pihak juga mesti lebih pantas.”
Jelasnya, usaha untuk meningkatkan pengetahuan digital dan kesedaran pengguna akan terus menjadi fokus utama melalui kerjasama pelbagai kementerian, agensi penguatkuasaan, dan badan-badan pengguna.
Selain itu, Julitah juga menegaskan bahawa isu kos sara hidup dan keselamatan makanan akan terus diberi perhatian untuk memastikan kebajikan dan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara.
“Pengguna yang berpengetahuan adalah pengguna yang berdaya. Inilah asas kepada perlindungan pengguna yang lebih berkesan,” ujarnya.
Beliau berkata, Gerakan Pengguna Negeri (GPN) Sabah akan terus menjadi platform penyelarasan strategik untuk mengukuhkan tindakan bersepadu antara agensi kerajaan dan rakan-rakan strategik dalam bidang kepenggunaan.
