BOSS gesa RM1.5 bilion terus masuk akaun Sabah, jalan pintas birokrasi

IMG 5733

KOTA KINABALU: Geran khas sementara bernilai RM1.5 bilion yang diumumkan untuk Sabah sepatutnya disalurkan terus ke akaun kerajaan negeri bagi memastikan pengurusan yang telus dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat.

Presiden Bantuan Orang Susah Sabah (BOSS), Datuk Kenny Chua, berkata walaupun peningkatan peruntukan itu positif untuk hubungan fiskal Persekutuan-Negeri, nilai sebenar hanya akan tercapai jika dana diurus di peringkat negeri selari dengan keperluan mendesak Sabah.

Menurutnya, Sabah masih berdepan cabaran seperti kemiskinan luar bandar, kekurangan infrastruktur, dan kos sara hidup tinggi, justeru memerlukan fleksibiliti dalam keputusan perbelanjaan.

“RM1.5 bilion itu mesti terus masuk ke akaun kerajaan negeri Sabah. Hanya dengan cara itu ia boleh digunakan mengikut keperluan di lapangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa pengurusan dana secara desentralisasi akan membolehkan negeri memberi keutamaan kepada bidang kritikal termasuk naik taraf jalan luar bandar, sistem bekalan air, akses penjagaan kesihatan asas, dan bantuan bersasar kepada keluarga berpendapatan rendah.

“Apa yang penting bukan sekadar pengumuman berbillion ringgit, tetapi sama ada penduduk pedalaman atau ibu tunggal di bandar benar-benar merasai kesannya. Itu hanya berlaku jika pelaksanaan dibuat secara cepat dan dipacu tempatan,” tegasnya.

Kenny turut menggesa kerajaan Persekutuan dan negeri memastikan ketelusan melalui mekanisme pelaporan yang jelas supaya rakyat boleh menjejaki perbelanjaan dana tersebut.

“Kami mengalu-alukan peruntukan ini, tetapi kami juga mahu jaminan bahawa setiap ringgit sampai kepada rakyat tanpa kelewatan atau ketirisan,” ujarnya.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, atas peranannya memperkukuh hubungan dengan Putrajaya yang menyumbang kepada peningkatan hasil fiskal negeri.

Kenny turut menghargai usaha pemimpin Sabah termasuk Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Tan Sri Anifah Aman dalam memperjuangkan tuntutan hak hasil 40% Sabah di peringkat Persekutuan, khususnya pada tahun 2015 ketika Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Ketika itu, Anifah dan Kitingan menegaskan bahawa hak 40% itu adalah hak perlembagaan, bukan tuntutan politik, yang membawa kepada penubuhan mekanisme semakan teknikal Persekutuan-Negeri bagi mengkaji pengiraan hak hasil Sabah.

Kenny berkata kesinambungan usaha merentas pelbagai pentadbiran telah membantu memastikan hak fiskal Sabah kekal dalam agenda nasional.

Beliau menegaskan bahawa keutamaan segera adalah memastikan peruntukan RM1.5 bilion itu digunakan dengan cekap untuk menangani kemiskinan, jurang infrastruktur, dan kekurangan perkhidmatan asas di seluruh negeri.

“Pada akhirnya, rakyat Sabah mahukan maruah. Sama ada di pedalaman atau komuniti bandar miskin, mereka mahu melihat perubahan sebenar dalam kehidupan harian mereka,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal