TUARAN: 3 Jun 2026 – Tiga kampung di Kiulu iaitu Kampung Pahu, Kampung Nulu dan Kampung Pakak menerima manfaat langsung menerusi projek No One Left Behind yang dijayakan oleh Miss World Malaysia 2025, Taanusiya Chetty di SK Pahu kelmarin.
Program berteraskan konsep Beauty With A Purpose (BWAP) itu memberi tumpuan kepada pendidikan, kesukarelawanan dan pembangunan komuniti melibatkan pelajar, ibu bapa, sukarelawan serta penduduk setempat.

Antara pengisian inisiatif utama program ialah penghasilan mural cap tangan bertemakan No One Left Behind sebagai simbol sokongan terhadap pendidikan untuk semua tanpa mengira latar belakang.
Bantuan peralatan persekolahan diberikan kepada semua pelajar SK Pahu termasuk murid prasekolah, dan sumbangan buku rujukan akademik dan rak buku kepada pusat sumber sekolah.
Bakul makanan turut deberikan kepada komuniti setempat untuk meringankan keperluan harian keluarga.

Taanusiya berkata, projek berkenaan memberi fokus kepada golongan kurang bernasib baik dengan usaha memperluaskan akses kepada pendidikan dan pengetahuan termasuk berkaitan kecerdasan buatan (AI).
“AI sangat penting pada masa kini. Pelajar perlu diajar menggunakannya dengan cara yang betul kerana teknologi ini boleh membantu mereka belajar secara lebih berdikari dan mendapatkan maklumat walau di mana mereka berada,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan AI secara positif mampu membantu pelajar mengembangkan ilmu pengetahuan dan meningkatkan keupayaan pembelajaran kendiri, terutama bagi mereka yang mempunyai akses terhad kepada sumber pendidikan.

Menurutnya, konsep Beauty With A Purpose yang menjadi teras pertandingan Miss World memberi penekanan kepada usaha membantu komuniti melalui pelbagai inisiatif yang membawa impak positif kepada masyarakat.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Wanita KDCA Tuaran, Tamparuli dan Kiulu, Dr Rosalyn Gelunu berkata program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan dan menyemai semangat kesukarelawanan dalam komuniti luar bandar.
“Mural No One Left Behind menjadi simbol bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapat pendidikan yang sempurna tanpa mengira latar belakang atau lokasi tempat tinggal mereka,” katanya.
“Tidak kira di mana mereka berada atau apa latar belakang mereka, setiap kanak-kanak berhak mendapat pendidikan yang sempurna,” tegasnya.
Beliau berkata kejayaan program itu adalah hasil kerjasama pelbagai pihak yang menyumbang tenaga, masa dan bantuan untuk menjayakan inisiatif berkenaan.

Menurutnya, kunjungan pertama Miss World Malaysia ke kawasan itu diharap dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus bergotong-royong dan menyokong pembangunan generasi muda melalui pendidikan, kesukarelawanan dan semangat kebersamaan.
