KOTA KINABALU: 29 Mei 2026 – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) secara rasmi mengemukakan permohonan untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Presiden UPKO, Ewon Benedick, menyampaikan permohonan tersebut kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Hajiji Noor, dalam satu pertemuan hari ini.
Menurut Ewon, langkah itu didorong oleh komitmen parti untuk memperkukuh kesepakatan dalam kalangan parti tempatan Sabah untuk memastikan agenda pembangunan negeri dan perjuangan hak Sabah terus diperkasakan.
“UPKO percaya kerjasama dan penyatuan parti-parti tempatan akan memperkukuhkan kestabilan politik dan mempercepatkan usaha membangunkan Sabah demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, aspirasi Sabah First yang menjadi teras perjuangan UPKO mempunyai keserasian dengan Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 yang dibawa GRS.
“Keputusan untuk memohon menjadi parti komponen GRS dibuat secara sebulat suara dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO pada 25 Mei lalu,” tambah Ewon.
Permohonan ini dilihat sebagai perkembangan penting dalam landskap politik negeri bagi memperkukuh blok parti tempatan sebagai wadah utama memperjuangkan kepentingan Sabah.
