PENAMPANG: 29 Mei 2026 – Jungle Food Lab, yang diangkat sebagai fokus utama Kaamatan International Week 2026, berjaya mempromosikan makanan tradisional berasaskan sumber hutan Sabah ke peringkat antarabangsa, selari dengan usaha mengukuhkan kedaulatan makanan dan memelihara pengetahuan warisan masyarakat tempatan.
Pengerusinya, Dato Petinggi Andrew Ambrose atau Atama, berkata Jungle Food Lab menghubungkan amalan tradisi nenek moyang dengan sains, inovasi dan pembangunan mampan.
“Ia bukan sekadar mengetengahkan makanan hutan, tetapi makmal yang mengkaji, mendokumentasi dan memperkenalkan semula sumber makanan yang semakin dilupakan kepada generasi kini,” ujarnya.
Menurut beliau, pengetahuan masyarakat pribumi tentang makanan, tumbuhan dan alam sekitar mempunyai nilai saintifik dan potensi global.
Antara taruhan utama ialah pemenang Jungle Food Lab 2025 dari Tambunan yang dibawa ke perkampungan KDCA bagi menunjukkan cara komuniti pergunungan mengurus kebun tradisional dan menghasilkan makanan secara lestari.
Atama menegaskan, konsep ini berkait rapat dengan keterjaminan makanan, iaitu kemampuan komuniti tempatan menghasilkan sumber sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada pihak luar.
“Ia soal hak masyarakat menentukan sistem makanan mereka dengan menghormati alam sekitar,” katanya.
Program ini turut memberi ruang kepada chef tempatan mengolah bahan tradisional hidangan bernilai komersial, sekali gus memperkenalkan citarasa unik Sabah ke khalayak lebih luas.
Beliau berharap pendekatan Jungle Food Lab diperluas ke rumah tradisional lain di KDCA dan seluruh Sabah demi menonjolkan identiti makanan setiap komuniti.
