Pelajar perempuan 13 tahun dipukul beramai-ramai, lima “angel” diburu polis

Screenshot 20260528 192505 WhatsAppBusiness

KOTA KINABALU: 28 Mei 2026 – Polis menjalankan siasatan terhadap kejadian seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun yang dipukul beramai-ramai oleh lima pelajar lain dalam kejadian yang dirakam dan tular di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Bin Syed Abdul Rahman berkata, laporan mengenai kejadian tersebut dibuat oleh mangsa pada 23 Mei lalu.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 22 Mei sekitar jam 8 pagi di kawasan sekitar Kota Kinabalu, mangsa dipukul menggunakan tangan oleh sekumpulan pelajar perempuan.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami lebam pada bahu, kaki dan telinga kiri, selain luka kecil pada lutut kiri.

Menurut beliau, semua suspek dan mangsa merupakan pelajar dari beberapa sekolah berbeza di sekitar bandar raya ini dan dipercayai saling mengenali menerusi kumpulan WhatsApp yang dikenali sebagai “Angel”.

Polis turut mendapati mangsa dibawa ke lokasi kejadian oleh dua suspek sebelum dipukul. Kejadian dipercayai berpunca dari salah faham dan rasa tidak puas hati.

Mangsa juga mendakwa diugut supaya tidak memaklumkan kejadian itu kepada keluarga atau pihak polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal