KOTA MARUDU: 26 Mei 2026 – Tanaman jagung bijirin berpotensi besar untuk dibangunkan secara komersial di Sabah untuk mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan ternakan yang mencecah RM800 juta setahun.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, tahap sara diri (SSL) bagi pengeluaran jagung bijirin di negeri ini masih rendah, sekitar dua peratus sahaja.
“Ini bermakna Sabah hanya mengeluarkan sekitar dua peratus keperluan makanan ternakan, sedangkan selebihnya kita masih bergantung kepada import,” katanya selepas melawat Ladang Projek Penanaman Jagung Bijirin di Kampung Masolog, hari ini.
Beliau berkata, projek usahasama EMAT Sdn Bhd dan Koperasi Tanjung Kelamat itu memasuki musim kedua dengan sistem mekanisasi sepenuhnya. Pada musim pertama, hasil mencecah lima tan sehektar, manakala potensi sebenar boleh mencapai lapan hingga sembilan tan sehektar.
“Dengan harga pasaran RM1,400 setan dan kos pengeluaran RM800 setan melalui mekanisasi, tanaman ini mempunyai margin keuntungan yang baik untuk diusahakan secara komersial,” katanya.
Sehubungan itu, kementerian menyediakan insentif RM5 juta tahun ini untuk membantu pengusaha yang berminat. Khidmat nasihat dan kepakaran teknikal turut disediakan melalui Jabatan Pertanian.
“Matlamat kita adalah untuk meningkatkan tahap sara diri negeri, membantu petani dan memastikan bekalan makanan lebih terjamin pada masa hadapan,” katanya.
Justeru, Jamawi berkata, kerajaan turut meminta Korporasi Pembangunan Desa (KPD) meneruskan projek jagung komersial di Terusan Sapi dengan baki peruntukan RM2 juta untuk membangunkan sehingga 300 hektar kawasan sesuai.
Beliau yakin kerjasama antara KPD dan EMAT mampu merealisasikan pembangunan jagung berskala besar berdasarkan kejayaan projek perintis 50 hektar di Kota Marudu.
Hadir sama dalam lawatan itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Jumain Abdul Ghani; Pengerusi LPBS, Datuk Ts. Dr. Ramle Hj Kasin; serta Pengarah Urusan EMAT Sdn Bhd, Louis Philip Potgieter.
