Pramugari wakili Unduk Ngadau KDCA Pulau Pinang ke peringkat negeri

Gambar Pramugari Wakili KDCA Pulau Pinang

KOTA KINABALU: 19 Mei 2026 – Selepas empat kali mencuba nasib dalam pertandingan Unduk Ngadau, anak jati Ranau, Jeraahfinah Jonis atau lebih dikenali sebagai Nanu akhirnya meraih kejayaan apabila dinobatkan sebagai juara Unduk Ngadau KDCA Pulau Pinang 2026.

Nanu, 28, yang berasal dari Kampung Napong Dua, Ranau berkata, kemenangan itu amat bermakna kerana ia merupakan penyertaan terakhirnya dalam pertandingan berkenaan disebabkan faktor had umur.

“Saya hanya mahu lakukan yang terbaik dan menikmati setiap perjalanan pertandingan ini kerana saya tahu ini adalah penyertaan terakhir saya. Menang atau kalah itu adat pertandingan.

Bertugas sebagai pramugari di Kuala Lumpur, Nanu mengakui cabaran utama sepanjang pertandingan adalah membahagikan masa, tenaga dan kewangan untuk persiapan.

1F7669F7 9834 4DC6 B243 C71D78B8E970

Katanya, beliau perlu berulang-alik ke Sabah bagi mendapatkan pakaian tradisi selain mencari jurusolek berpengalaman yang memahami keunikan solekan dan dandanan rambut Unduk Ngadau.

Sepanjang penyertaannya, Nanu pernah meraih tempat keempat Unduk Ngadau Ranau 2019 dan memenangi gelaran Miss Tradisi menerusi busana Lapoi Ranau.

Bagi memperkukuh persiapan, Nanu mengikuti kelas bahasa BKD bersama Mongingia Nuna dan Mongingia Titaa selain menjalani latihan catwalk bersama bekas peserta Unduk Ngadau, Zandi Ledesma.

Beliau turut mendapatkan bimbingan sesi soal jawab daripada rakannya, Francisca Ester Nain yang juga juara Unduk Ngadau peringkat negeri 2019.

Mengulas pemilihan Pulau Pinang, Nanu berkata keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama pengurusnya, Zheng Jaemin.

Beliau memilih busana tradisi “Sia Manavak” dari Beaufort untuk diperagakan di peringkat negeri kerana tertarik dengan keunikan rekaannya dan kesesuaiannya dengan dirinya.

Mengulas tentang sokongan penyertaan, Nanu menjelaskan sokongan terbesar datang dari keluarga.

“Sistem sokongan terbesar saya adalah diri sendiri. Saya sentiasa berfikiran positif, kuatkan mental dan percaya bahawa saya mampu lakukan.

“Selain keluarga dan sahabat, doa juga menjadi kekuatan rohani dan sumber keyakinan terbesar saya sepanjang pertandingan ini,” tambahnya kepada TV Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal