Petani moden wakili Libaran ke pentas RTK Sabah

IMG 20260518 WA0007

KOTA KINABALU: Kesibukan mengurus perniagaan dan komitmen sebagai pelajar sepenuh masa bukan penghalang untuk seorang anak muda membawa nama daerah ke pentas budaya berprestij negeri.

Mixxccomoko Philip atau lebih dikenali sebagai Moko Philip, 24 tahun, kini melangkah ke pertandingan Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) peringkat negeri Sabah sebagai wakil KDCA Libaran, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya.

Moko yang merupakan pelajar Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), turut aktif sebagai seorang usahawan dalam penanaman sayur menggunakan sistem hidroponik.

1003000434
Foto – RTK Tambunan

Walaupun ini merupakan penyertaan pertamanya di pentas RTK negeri, beliau merupakan finalis RTK Tambunan dan berjaya meraih tempat ketiga.

Menurutnya, peluang mewakili Libaran muncul secara tidak dijangka selepas menerima kad liar ketika beliau berada di Kuala Lumpur.

“Saya dimaklumkan layak mewakili Libaran ketika berada di KL dan keesokan harinya pula adalah pendaftaran akhir RTK negeri. Saya terus bergegas pulang ke Sabah untuk membuat persiapan,” katanya.

Mengimbangi pengajian, perniagaan dan persediaan pertandingan menjadi cabaran terbesarnya, namun beliau memilih untuk melihat semua itu sebagai pengalaman yang mematangkan diri.

“Sebagai pelajar sepenuh masa dan dalam masa sama mengurus perniagaan sendiri, memang mencabar untuk membahagikan masa. Tetapi saya sentiasa berhubung dengan pasukan perniagaan, pensyarah dan rakan-rakan supaya semuanya dapat diurus dengan baik,” katanya kepada TV Sabah.

Semasa bertanding di peringkat daerah, untuk memastikan dirinya benar-benar bersedia, Moko menjalani latihan intensif sejak sebulan lalu dengan bimbingan pengurusnya.

Katanya, latihan itu merangkumi teknik berjalan, postur badan, pola lantai dan sesi soal jawab (Q&A), malah beliau turut mengambil peluang berlatih pada waktu lapang termasuk ketika memandu dengan merakam jawapan untuk dinilai pengurusnya. Proses itu katanya, digunakan untuk mempersiapkan dirinya ke pertandingan peringkat negeri nanti.

Meskipun tidak mahu terlalu memikirkan soal kemenangan, Moko percaya setiap peserta mempunyai impian yang sama dan persaingan sihat harus sentiasa diutamakan.

“Apa yang penting, bila berada di pentas RTK, kami membawa tanggungjawab sebagai duta budaya kepada negeri dan bangsa sendiri,” katanya.

Untuk pertandingan peringkat negeri nanti, beliau memilih mengenakan pakaian tradisi Dusun Liwan sebagai wakil Libaran yang terkenal dengan kepelbagaian etnik dan budaya.

“Libaran mempunyai masyarakat pelbagai kaum seperti Bajau, Sungai, Suluk dan Dusun. Saya memilih pakaian Dusun Liwan kerana saya sendiri berbangsa Dusun, namun saya tetap akan berjuang sepenuh hati untuk Libaran,” katanya.

Moko turut menyifatkan keluarga, rakan-rakan dan kekuatan diri sendiri sebagai sumber sokongan utama yang terus memberinya semangat untuk melangkah lebih jauh di pentas RTK Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal