KOTA KINABALU: – Satu langkah positif ke arah memperkukuhkan industri pengawal peribadi di Sabah telah direalisasikan melalui penubuhan Sabah Bodyguard Specialist Association (SBSA) pada 1 April 2026.
Persatuan ini ditubuhkan sebagai platform rasmi untuk menghimpunkan pengamal kerjaya ‘bodyguard, khususnya anak jati Sabah, yang terlibat dalam bidang keselamatan, pengiring rapat orang kenamaan (Close Protection Officer), keselamatan korporat, dan pengurusan keselamatan profesional.
SBSA memulakan langkah pertamanya dengan keahlian awal seramai 100 orang ahli yang terdiri daripada pengamal bodyguard berpengalaman, bekas anggota keselamatan, pengiring peribadi sambilan, dan individu yang aktif dalam industri keselamatan di Sabah.
Persatuan ini dipimpin oleh Presidennya, Mohd Yusof bin Abdullah, yang komited membawa hala tuju persatuan ke arah pembangunan profesionalisme dan kebajikan ahli, di samping memperkukuhkan hubungan silaturahim sesama pengamal industri bodyguard di Sabah.
Menurut beliau, penubuhan SBSA bukan sahaja bertujuan menyatukan komuniti bodyguard Sabah, malah menjadi medium untuk menjaga kebajikan ahli, membuka peluang pembangunan kerjaya, dan melaksanakan program-program yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“SBSA diwujudkan untuk menjadi suara dan platform penyatuan kepada pengamal bodyguard anak jati Sabah. Selain menjaga kebajikan ahli, kami juga mahu melahirkan pengamal bodyguard yang profesional, beretika dan berdisiplin,” katanya.
Tambah beliau, SBSA turut merancang untuk melaksanakan pelbagai program bermanfaat, termasuk aktiviti kemasyarakatan, latihan keselamatan, seminar profesionalisme, dan kursus berkaitan industri pengawal peribadi.
Sebagai langkah permulaan, SBSA bersama M&J Global Training & Services merancang untuk menganjurkan Kursus Bodyguard / Close Protection Operation (CPO) di Sabah pada Mei 2026.
Pemilihan M&J Global Training & Services sebagai rakan strategik dan panel ‘training provider‘ dibuat berdasarkan pengalaman, pentauliahan, dan pengiktirafan syarikat tersebut dalam bidang latihan bodyguard di Malaysia.
M&J Global dikenali sebagai antara training provider yang memberi penekanan kepada latihan berasaskan operasi sebenar, profesionalisme bodyguard, disiplin, dan standard latihan yang selari dengan keperluan industri keselamatan semasa.
Kursus yang dirancang itu dijangka menjadi platform penting kepada anak jati Sabah yang berminat menceburi bidang bodyguard secara profesional, di samping memberi peluang kepada pengamal sedia ada untuk meningkatkan kemahiran dan kompetensi mereka.
Penubuhan SBSA dilihat sebagai satu perkembangan positif dalam memperkasakan industri bodyguard di Sabah, seterusnya membuka ruang kepada anak-anak tempatan untuk terlibat secara lebih profesional dalam bidang keselamatan dan *close protection*.
Dengan semangat perpaduan dan hala tuju yang jelas, SBSA diyakini mampu menjadi sebuah persatuan yang berperanan besar dalam menjaga kepentingan, kebajikan, dan masa depan pengamal bodyguard di Sabah.
