KOTA KINABALU: 12 Mei 2026 – Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah, menyifatkan kenyataan pemimpin Warisan berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah sebagai sekadar retorik politik dan “logik kedai kopi” yang tidak berpaksikan fakta, malah jauh daripada realiti rundingan sebenar antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, tindakan melabel pemberian interim RM600 juta dan tuntutan rasmi RM3.019 bilion sebagai ‘sedekah’ atau ‘angka rawak’ menunjukkan kegagalan memahami asas penting dalam proses tuntutan hasil Sabah.
“Umumnya, saya setuju kita perlu tuntut hak kita. Tetapi dalam menuntut hak, kita perlu guna akal dan undang-undang, bukan sekadar memetik sentimen untuk menarik perhatian media,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, RM600 juta yang diumumkan sebelum ini adalah pembayaran interim atau pendahuluan sementara formula tetap dimuktamadkan antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, tuntutan RM3.019 bilion pula adalah tuntutan rasmi Kerajaan GRS terhadap hasil bersih tahun 2025 berdasarkan data kutipan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kastam yang berjumlah RM7.547 bilion.
“Angka itu bukannya angka ihsan atau angka rawak seperti yang didakwa, tetapi tuntutan rasmi yang dikira berdasarkan data hasil sebenar,” katanya.
Aksyah berkata, Kerajaan Negeri melalui surat bertarikh 10 April 2026 turut mendesak Putrajaya melunaskan bayaran tuntutan untuk tempoh 2022 hingga 2025.
Beliau berkata, melabel tuntutan berdasarkan data rasmi sebagai ‘sedekah’ bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah menghina integriti penjawat awam dan pasukan teknikal yang menyediakan pengiraan berkenaan.
Sementara itu, beliau turut mempersoalkan pendekatan Warisan ketika mentadbir Sabah pada 2019 yang hanya menerima RM53.4 juta.
“Kalau RM600 juta diberikan secara interim melalui rundingan dan RM3.019 bilion yang dituntut GRS hari ini dipanggil sedekah, RM53.4 juta yang Warisan terima dulu itu apa?” katanya.
Beliau berkata, kerajaan GRS kini menuntut berbilion ringgit berdasarkan data rasmi dan rundingan kerajaan dengan kerajaan (G2G), namun masih dituduh tunduk kepada Kerajaan Persekutuan.
“Warisan dulu terima RM53 juta tanpa suara dan mengangguk buta kononnya tidak mahu diwartakan demi politik, tetapi hari ini mahu berlagak hero,” katanya.
Mengulas isu pewartaan tuntutan 40 peratus, Aksyah berkata pemimpin pembangkang juga gagal memahami maksud sebenar warta dalam sistem pentadbiran negara.
Katanya, warta adalah dokumen perundangan yang sah untuk mengikat Kerajaan Persekutuan sebagai pembayar dan Sabah sebagai penerima.
“Tanpa warta, perjanjian hanya tinggal janji di atas kertas. Sebab itu GRS mahukan jaminan undang-undang yang sah, bukannya sekadar janji mulut,” katanya.
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap pandangan Senator Anna Bell Perian bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan tempat paling sesuai untuk membahaskan isu teknikal tuntutan 40 peratus selagi rundingan masih berjalan.
Katanya, keputusan Speaker DUN menolak usul berkaitan isu itu dibuat demi menjaga integriti rundingan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Membawa rundingan teknikal yang sensitif ke debat terbuka di DUN hanya akan mendedahkan strategi rundingan Sabah kepada pihak pembayar,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mempertahankan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang disifatkannya lebih tenang dan berkesan dalam memperjuangkan hak Sabah.
“Hajiji tidak perlu menjerit di tepi jalan. Beliau masuk ke bilik rundingan, meletakkan fakta di atas meja, dan berjaya membawa balik RM600 juta sebagai pendahuluan,” katanya.
Menurutnya, kerajaan pimpinan Hajiji juga sedang menuntut tunggakan berbilion ringgit yang telah dikenal pasti untuk tempoh 2022 hingga 2025.
“Rakyat Sabah mahu makan hasil, bukan mahu makan jeritan politik,” katanya.
