KOTA KINABALU: 5 Mei 2026 – Native Court Management System (NCMS) dilancarkan untuk pendaftaran perkahwinan di semua Mahkamah Anak Negeri Sabah, sekali gus memperkukuh pendigitalan dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Mohd Arifin Mohd Arif berkata, sistem itu memudahkan urusan selain mengurangkan ketirisan melalui pembayaran dalam talian.
“JHEANS perlu terus memperkukuh sistem penyampaian agar lebih efektif, pantas dan responsif, khususnya dalam era teknologi termasuk kecerdasan buatan,” katanya ketika merasmikan Majlis Apresiasi Pegawai dan Kakitangan JHEANS 2025 di Hilton Hotel, semalam.
Majlis bermula 6.30 petang itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025, selain anugerah lain termasuk pasukan terbaik, rekod kehadiran terbaik dan kecemerlangan pengurusan Mahkamah Anak Negeri.

Beliau turut memuji pelancaran Pelan Strategik JHEANS pada Februari lalu yang disifatkan sebagai langkah penting dalam memastikan hala tuju jabatan lebih terancang dan terarah.
Katanya, pelan itu membuka ruang kepada pensijilan MS ISO 9001:2015, khususnya dalam aspek perancangan strategik dan pengurusan risiko.
Pada masa sama, beliau berkata JHEANS memikul tanggungjawab besar dalam memastikan kelestarian warisan dan undang-undang adat anak negeri Sabah terus relevan.
Arifin merakamkan penghargaan kepada semua penerima anugerah, pesara dan warga kerja yang berpindah atas sumbangan kepada jabatan.
“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus melakar kecemerlangan,” katanya.
