Dusun Labuk Telupid akhirnya memiliki rumah tradisi di KDCA

Gambar Rumah Tradisi Dusun Labuk Telupid

PENAMPANG: 5 Mei 2026 – Pembinaan Valai Piuntunan Dusun Labuk Telupid di Hongkod Koisaan, KDCA disifatkan sebagai langkah strategik dalam mengangkat identiti budaya masyarakat Pantai Timur Sabah yang sebelum ini kurang diwakili di peringkat negeri.

ADUN N.47 Telupid, Jonnybone Kurum menegaskan bahawa kewujudan rumah tradisi itu berdasarkan keperluan mendesak untuk menyediakan ruang tetap untuk komuniti Dusun Labuk mempamerkan warisan mereka.

“Selama ini masyarakat dari Telupid, Paitan, Beluran, Tongod hingga Tawau belum mempunyai rumah tradisi di Hongkod. Jadi pembinaan ini amat penting sebagai simbol kewujudan dan pengiktirafan budaya kami,” katanya.

image 7
ADUN N.47 Telupid melawat pembinaan rumah tradisi Dusun Labuk Telupid.

Menurut beliau, rumah tradisi tersebut bukan sekadar struktur fizikal, sebaliknya menjadi wadah menyeluruh untuk memperkenalkan kekayaan budaya termasuk makanan tradisional, pakaian etnik, minuman, kraftangan, peralatan dan seni muzik masyarakat Dusun Labuk.

“Inilah ruang untuk kita tampilkan identiti sebenar masyarakat pedalaman Pantai Timur supaya lebih dikenali di peringkat negeri,” tambahnya.

Dari sudut pelaksanaan, projek berkenaan bermula dengan permohonan rasmi kepada Ketua Menteri, yang kemudiannya disokong penuh oleh Jonnybone sendiri. Permohonan tersebut diproses pada Februari 2026 sebelum diluluskan pada awal April, dengan Majlis Perbandaran Penampang (MPP) dilantik sebagai agensi pelaksana.

Kerja pembinaan dimulakan pada penghujung April 2026 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir Mei 2026, dengan tempoh sekitar empat minggu bergantung kepada keadaan cuaca.

Pemilihan kontraktor dan proses tender pula diuruskan sepenuhnya oleh MPP berdasarkan skop kerja, spesifikasi teknikal dan keperluan perlesenan.

Mengulas impak projek, beliau berkata pembinaan Valai Piuntunan dijangka meningkatkan kehadiran masyarakat dari kawasan Pantai Timur seperti Telupid, Kinabatangan, Beluran, Tongod dan Sandakan, sekali gus memperkukuh hubungan dalam kalangan komuniti Dusun Labuk termasuk subetnik Sungai dan Dumpas.

“Ini bukan sahaja soal budaya, tetapi juga tentang kebersamaan dan penyatuan komuniti kita di Hongkod Koisaan,” jelasnya.

Projek tersebut melibatkan kos sebanyak RM150,000 yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri melalui Jabatan Ketua Menteri, merangkumi kemudahan asas seperti bilik berhawa dingin, pendawaian elektrik, tandas serta sistem perpaipan.

Dari segi pengurusan, rumah tradisi itu dicadangkan dikendalikan oleh KDCA Telupid selaku pemohon utama, namun penggunaannya akan dikongsi bersama daerah lain di Pantai Timur bagi memastikan manfaatnya lebih menyeluruh.

“Walaupun diuruskan oleh KDCA Telupid, kita tetap membuka ruang kepada daerah lain kerana Dusun Labuk ini terdiri daripada pelbagai subetnik. Ini adalah milik bersama,” katanya.

Pembinaan Valai Piuntunan Dusun Labuk Telupid dilihat sebagai satu pencapaian penting dalam memastikan warisan budaya masyarakat pedalaman Sabah terus dipelihara dan diperkasakan di pentas negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal