KOTA KINABALU: 3 Mei 2026 – Gabungan sembilan persatuan seni dan kreatif tempatan, KREATIF SABAH, kini sah berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Penubuhan itu sekali gus menyatukan pemain industri kreatif di Sabah untuk memperkukuh ekosistem seni dan merangka hala tuju ekonomi kreatif negeri.
Pengerusi penaja, Chester Pang, berkata penubuhan gabungan itu merupakan hasil perjuangan penggiat seni tempatan selama lebih sedekad.
“Penubuhan KREATIF SABAH amat bertepatan dengan masanya dan kami merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Hajiji Noor, atas inisiatif mewujudkan portfolio seni kreatif di bawah Kementerian Kemajuan Sukan, Pembangunan Belia dan Ekonomi Kreatif (MYSPACE) yang diterajui Nizam Abu Bakar Titingan,” katanya.
Menurutnya, KREATIF SABAH bersedia menjadi rakan strategik kepada MYSPACE untuk merangka dan melaksanakan dasar ekonomi kreatif yang lebih tersusun.
Beliau berkata, penubuhan itu juga bertujuan menjadi suara rasmi komuniti kreatif tempatan, khususnya dalam usaha membentuk polisi kesenian dan kreatif yang lebih jelas di Sabah.
Dalam masa sama, gabungan itu akan bekerjasama dengan persatuan seni budaya, institusi kreatif dan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memperkukuh pembangunan industri.
KREATIF SABAH turut merancang mengemukakan memorandum kepada kerajaan negeri dan agensi berkaitan sebagai rujukan dasar industri.
Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama dijadualkan pada 18 Julai 2026 dan terbuka kepada semua persatuan kreatif di Sabah.
Gabungan itu melibatkan sembilan persatuan iaitu
Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA), Persatuan Artis Tempatan Sabah (PERTISA), Persatuan Komposer Penulis Lirik Artis Nasyid Sabah (KOPAN), Kelab Orkestra Kinabalu Sabah (KOKiS), Persatuan Penggerak Kreatif dan Inovasi Sabah (SCREIMO), Persatuan Bakat Skrin Sabah (SST), Persatuan Bakat, Seni dan Kreativiti Sabah (PBSKS), Persatuan Pencinta Taman Sabah (S3C) dan Persatuan Komuniti Seniman Jalanan Sabah (SBC).
