40 peratus hasil Sabah perlu dituntut secara bersatu – Sim Fui

3f505de7 65e6 4aff ad70 f1c8b811f8a8

KOTA KINABALU: 1 May 2026 – Perpaduan semua wakil rakyat Sabah menjadi kunci utama untuk memastikan kejayaan tuntutan 40 peratus hasil negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Naib Presiden Liberal Democratic Party, Sim Fui berkata, isu itu bukan bersifat politik kepartian sebaliknya melibatkan hak dan masa depan Sabah.

Katanya, semua Ahli ADUN perlu bersatu tanpa mengira kerajaan dan pembangkang bagi memperkukuh tuntutan tersebut.

“Semua wakil rakyat mesti berdiri bersama dan bercakap dengan satu suara dalam mempertahankan hak Sabah,” katanya dalam kenyataan media, 28 April.

Beliau berkata, perpecahan dalaman hanya akan melemahkan kedudukan Sabah dalam rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.

Sim turut menggesa parti politik tempatan Sabah supaya bekerjasama dengan kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, pertikaian terbuka perlu dielakkan kerana boleh menjejaskan kekuatan rundingan negeri.

Beliau turut menyeru pemimpin Sabah dalam parti nasional supaya mengutamakan kepentingan negeri dalam usaha menuntut hak MA63.

Sim berkata, sokongan kepada Ketua Menteri, Hajiji Noor penting bagi memastikan kerajaan negeri berunding secara jelas dan konsisten dengan Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, tuntutan hak Sabah perlu dilaksanakan secara berhemah melalui rundingan berterusan.

Katanya, kejayaan mendapatkan 40 peratus hasil itu akan meningkatkan keupayaan kewangan Sabah untuk menangani isu bekalan air, jalan dan elektrik.

“Ini penting untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dan memastikan pembangunan Sabah lebih mampan,” katanya.

Beliau menegaskan perpaduan semua pihak merupakan faktor utama bagi memastikan Sabah memperoleh hak yang sewajarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal