11 maut diserang buaya tahun 2025, kerajaan Sabah kekal larang pemburuan tanpa lesen

32708557 3594 4b16 9f9a 0b975344808d

KOTA KINABALU: 30 April 2026 – Sebanyak 11 kematian dan tiga kecederaan akibat serangan buaya direkodkan di Sabah sepanjang tahun 2025, dengan insiden tertumpu di kawasan ladang kelapa sawit termasuk di Kinabatangan.

Kerajaan Negeri menegaskan tidak akan membenarkan pemburuan buaya tanpa lesen kerana bertentangan dengan undang-undang dan boleh menjejaskan kelestarian ekosistem, selain sistem pelesenan sedia ada mencukupi untuk mengawal populasi dan perdagangan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Lamag dan ADUN Segama pada sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, 29 April.

“Kementerian saya memandang serius insiden konflik manusia dan buaya yang berlaku di Sabah termasuk di kawasan Lamag dan Segama,” katanya.

Menurutnya, dua daripada kes kematian direkodkan di Kinabatangan melibatkan pekerja asing, manakala majoriti kejadian berlaku ketika aktiviti memukat dan memancing di kawasan ladang.

Beliau menjelaskan, spesies buaya muara (Crocodylus porosus) dilindungi di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 dan turut disenaraikan di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam (CITES), namun Sabah dan Sarawak diberi kelonggaran di bawah Appendix II untuk tujuan penternakan dan eksport secara terkawal.

Katanya, kerajaan melalui Jabatan Hidupan Liar melaksanakan pendekatan menyeluruh termasuk operasi bersepadu, pengeluaran lesen memburu, pemasangan papan tanda amaran, program kesedaran serta projek perintis di Batu Puteh, Kinabatangan.

Menyentuh konflik manusia dan gajah, Jafry berkata kerajaan turut memandang serius isu itu susulan kejadian kematian seorang pekebun kecil berusia 69 tahun di Ladang Begahak 2, Jalan Tungku.

Menurutnya, antara langkah diambil termasuk pemasangan kolar GPS untuk pemantauan pergerakan gajah, pemasangan pagar elektrik di kawasan hotspot, serta penubuhan pasukan pengiring gajah melibatkan komuniti setempat.

“Kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama dengan komuniti, pihak ladang dan agensi berkaitan bagi memastikan penyelesaian jangka pendek dan panjang dapat dilaksanakan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal