KENINGAU: 24 April 2026 — Seorang guru pendidikan khas dari Kolej Vokasional (KV) Keningau, Roderic John Raymond, mengharumkan nama Sabah apabila dipilih sebagai penerima World Changer Award oleh Special Education Network and Inclusion Association (SENIA), sebuah organisasi pendidikan antarabangsa yang memfokuskan kepada pendidikan keperluan khas.
Menurut Pengarah kolej, Lumang anak Lang, pihak institusi sentiasa menyokong sepenuhnya usaha inklusif yang membuka peluang sama rata kepada pelajar berkeperluan khas, khususnya dalam pembangunan bakat dan potensi mereka merentas pelbagai bidang.

Pengiktirafan tersebut diberikan atas sumbangan signifikan beliau dalam memperkasa komuniti pelajar berkeperluan khas.
Roderic yang juga jurulatih olahraga aktif melatih pelajar berkeperluan khas dalam acara pecut, trek dan larian merentas desa. Di bawah bimbingannya, pelajar-pelajar ini bukan sahaja mendapat pendedahan dalam sukan, malah turut mencatat pencapaian membanggakan dalam kejohanan olahraga khas di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Dalam usaha memperluas penyertaan sukan, beliau turut menjalin kerjasama dengan Kaki Bangku Soccer Clinic (KBSC), sebuah inisiatif sosial yang mempromosikan diplomasi sukan serta pembangunan kemahiran sosial melalui bola sepak.
Katanya, hasil kerjasama tersebut, seramai 35 pelajar termasuk golongan neurodivergen, autistik dan bermasalah pendengaran menerima latihan percuma dari jurulatih berpengalaman dan personaliti media.
Selain itu, sumbangan sebanyak 16 biji bola sepak turut diberikan bagi menyokong penglibatan pelajar dalam sukan berpasukan, sekali gus memperkukuh usaha membina keyakinan diri dan interaksi sosial dalam kalangan pelajar berkeperluan khas.

Pengumuman beliau sebagai penerima anugerah tersebut boleh diakses melalui laman sesawang SENIA di pautan berikut: https://www.seniainternational.org/roderic-john-raymond-april-2026-senia-world-changer-award-recipient/
