Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Haji Aman menerima cenderakenangan daripada Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam pada sambutan Hari Etnik Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Sabtu.
KOTA KINABALU: 25 April 2026 — Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM174.45 juta kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) serta jabatan dan agensinya tahun ini bagi memperkukuh industri pelancongan di samping memelihara warisan budaya Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, peruntukan itu bukan sahaja berperanan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri, malah menyokong usaha pemuliharaan nilai budaya dan kelestarian alam semula jadi.
Menurutnya, sebanyak RM38.70 juta turut diperuntukkan khusus untuk menaik taraf fasiliti dan infrastruktur pelancongan sedia ada termasuk pelaksanaan beberapa projek utama.
Antara inisiatif yang dirancang ialah penambahbaikan kemudahan di Petagas War Memorial Park, pembinaan Muzium Etnik Ranau, naik taraf Pusat Kebudayaan Penampang dan pemerkasaan produk pelancongan di Pusat Kebudayaan Murut Tenom.

Selain itu, kerajaan negeri akan meneruskan pembangunan Pemetaan Budaya Etnik 2026–2030 bagi memastikan kepelbagaian etnik di Sabah didokumentasikan secara sistematik sebagai rujukan generasi masa kini dan akan datang.
Perkara itu dimaklumkan sempena Majlis Hari Etnik Sabah yang diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Yang di-Pertua Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Sabtu. Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Negeri, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam.

Hajiji menegaskan bahawa usaha berterusan dalam memelihara budaya amat penting bagi memastikan warisan tempatan kekal relevan dalam arus perubahan global dan terus dihargai oleh generasi muda.
Beliau turut menggalakkan persatuan etnik di negeri ini untuk terus memperkasa adat, bahasa dan kebudayaan masing-masing agar tidak pupus, di samping menjadikannya sebagai produk pelancongan yang berdaya saing.
Kerajaan negeri optimis bahawa inisiatif itu mampu meningkatkan kehadiran pelancong sekali gus mencapai sasaran empat juta pelawat ke Sabah tahun ini.
Sementara itu, penganjuran Hari Etnik Sabah yang memasuki tahun keenam terus menjadi platform penting dalam meraikan kepelbagaian budaya dan memperkukuh perpaduan rakyat.
Sambutan kali ini turut menampilkan kelainan menerusi perarakan budaya yang menghimpunkan pelbagai etnik dari seluruh Sabah.
Mengangkat tema “Budaya Kita, Kita Jaga”, sambutan berkenaan menekankan tanggungjawab bersama dalam memelihara warisan sebagai asas jati diri dan keharmonian masyarakat.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk badan kebudayaan dan penggiat seni yang menjayakan program tersebut, sambil menegaskan bahawa kepelbagaian budaya bukanlah jurang pemisah, sebaliknya kekuatan yang memperkayakan identiti Sabah.
