KOTA KINABALU: TV Sabah tampil dengan kelainan sempena sambutan Pesta Kaamatan tahun ini menerusi pelancaran lagu rasmi Kaamatan 2026 berjudul “Suara Kaamatan Kita.”
Lagu berkenaan diterbitkan sebagai usaha menyemarakkan sambutan Kaamatan di samping menyatukan rakyat Sabah melalui seni muzik yang dekat dengan masyarakat.
Dengan melodi ceria, mudah diingati dan berunsur perayaan, karya itu dijangka menjadi antara lagu yang sering didengar sepanjang bulan Mei menerusi platform TV Sabah.
Video muzik (MV) lagu tersebut mengetengahkan konsep kekeluargaan dan komuniti dengan memaparkan sketsa masyarakat tempatan dari pelbagai generasi yang bersama-sama meraikan Kaamatan dalam suasana harmoni.
Ia turut menampilkan penyertaan Unduk Ngadau, Randawi Tavantang Kaamatan (RTK), kru TV Sabah dan KDCA yang memeriahkan korus lagu berkenaan.

Lebih istimewa, MV itu turut menampilkan kemunculan khas beberapa tokoh utama negeri termasuk Huguan Siou Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan.

Pembikinan lagu itu bermula sejak Februari lalu, manakala rakaman dijalankan pada awal April di Pusakag Studio.
Lirik lagu diinspirasikan Pengarah TV Sabah, Dennis Patrick, dan melodi dihasilkan komposer Matteo atau lebih dikenali sebagai Butod Bassman, yang pernah bersaing di Anugerah Industri Muzik (AIM).
Konsep dan penceritaan MV pula disediakan Dennis Patrick bersama pasukan produksi diketuai Jason Jonathan Omar dari Talentshop Co.

Lagu itu turut dijayakan Ketua Pegawai Eksekutif TV Sabah Suzanne Lujain Bingkasan bersama anak beliau Deangelo Sinunduvan Dennis, artis legenda Sabah Datuk Francis Landong, Unduk Ngadau Negeri Sabah 2025 Atitih Robert, dan juara Sugandoi, Carl Junior yang juga Randawi Tavantang peringkat daerah.

Menurut pihak produksi, cabaran utama adalah menyiapkan lagu dan MV dalam tempoh singkat selain menyelaras komitmen semua pihak yang terlibat.

Antara detik paling bermakna apabila karya terbitan TV Sabah itu diumumkan sebagai lagu tema rasmi Kaamatan 2026 sehari sebelum penggambaran MV dijalankan.
TV Sabah berharap “Suara Kaamatan Kita” dapat diterima baik masyarakat dan menjadi simbol perpaduan rakyat negeri ini.
TV Sabah turut merakamkan penghargaan kepada Sabah Tourism Board, Kovac Perfume dan semua pihak yang menjayakan penerbitan karya tempatan berkenaan.
