Ewon pertahan hak 40%, tolak cadangan Haris Salleh

Gambar Ewon Pertahan Hak 40

KOTA KINABALU: 23 April 2026 – Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Ewon Benedick, menolak pandangan mantan Ketua Menteri Sabah, Harris Salleh, yang mencadangkan agar keutamaan diberikan kepada pembangunan infrastruktur berbanding tuntutan tersebut.

Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III menegaskan bahawa hak 40 peratus merupakan asas penting dalam pembentukan Malaysia pada 1963 dan tidak boleh dilihat sebagai pilihan yang boleh diketepikan. Beliau menyifatkan cadangan berkenaan tidak selari dengan kedudukan perlembagaan yang telah dipersetujui antara Sabah dan Persekutuan.

“Saya tidak setuju dengan Harris Salleh,” katanya dengan ringkas.

Menurut beliau, tanggungjawab menyediakan kemudahan asas seperti sekolah, hospital dan infrastruktur sememangnya terletak di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, dan tidak wajar dijadikan alasan untuk tidak melaksanakan hak kewangan yang termaktub.

Ewon menegaskan bahawa peruntukan tersebut jelas dinyatakan dalam Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan dan merupakan sebahagian daripada syarat penyertaan Sabah dalam pembentukan negara ini. Tanpa persetujuan terhadap syarat tersebut, penyertaan Sabah dalam Malaysia tidak akan berlaku.

Sehubungan itu, UPKO kekal dengan pendirian untuk terus memperjuangkan pelaksanaan semula hak 40 peratus yang disifatkan tertangguh sejak 1974, selari dengan pendekatan kerajaan negeri melalui rundingan antara kerajaan dengan kerajaan.

Pada masa sama, parti itu turut menyokong pelbagai usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai isu berkenaan, termasuk melalui saluran perundangan, forum dan wacana ilmiah.

Ewon turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan Hajiji Noor telah menyatakan pendirian jelas berhubung perkara tersebut.

Isu berkenaan dijangka menjadi antara fokus utama dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah penggal kedua nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal