Jangan kelirukan rakyat tentang tuntutan hak 40 peratus — Madius

WhatsApp Image 2026 04 22 at 5.55.28 PM

TAMPARULI: 22 April 2026 — Cadangan yang menggesa agar isu prasarana kesihatan dan pendidikan diberi keutamaan berbanding tuntutan Hak 40 peratus Sabah disifatkan sebagai tidak wajar kerana boleh mengelirukan rakyat mengenai tanggungjawab sebenar antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau, menjelaskan bahawa kedua-dua sektor tersebut merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan Malaysia, yang meletakkan hal ehwal kesihatan dan pendidikan di bawah Senarai Persekutuan.

Sehubungan itu, isu seperti sekolah daif, kemudahan kesihatan uzur dan pembangunan institusi pendidikan awam di Sabah sewajarnya ditangani oleh kerajaan pusat.

Katanya, hasil 40 peratus yang dituntut Sabah sepatutnya dimanfaatkan bagi memperkukuh sektor di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, termasuk pemberian biasiswa, bekalan air, tenaga elektrik, pembangunan pelabuhan, pertanian, pentadbiran tanah dan pembangunan luar bandar.

Kekangan kewangan yang berlarutan turut menyebabkan kerajaan negeri terpaksa mendapatkan pinjaman dari Kerajaan Persekutuan dengan kadar empat peratus bagi melaksanakan projek asas seperti pembinaan loji rawatan air, naik taraf pelabuhan dan infrastruktur elektrik, selain pembangunan kawasan perindustrian termasuk Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), Palm Oil Industrial Cluster (POIC) dan Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP).

Selain itu, isu penyukatan tanah yang masih tertangguh di banyak kawasan di Sabah turut dikaitkan dengan kekurangan dana dan tenaga kerja, sehingga kerajaan negeri perlu mendapatkan bantuan melalui program PANTAS.

Justeru, rakyat diingatkan agar memahami konteks sejarah yang memberi kesan kepada negeri, termasuk penyerahan Labuan kepada Kerajaan Persekutuan tanpa pampasan dan penyerahan sekitar 300,000 ekar tanah di Lahad Datu dan Tawau kepada FELDA pada masa lalu.

Pelaksanaan Hak 40 peratus disifatkan penting bagi memperkukuh kedudukan kewangan Sabah, sekali gus membolehkan pembangunan negeri dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal