Sarawak hantar penyertaan sulung Randawi Tavantang Kaamatan(RTK)

photo 2026 04 18 09 48 33

KUCHING: 18 April 2026 – Penganjuran sulung Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) di Sarawak mencatat sejarah tersendiri apabila negeri ini menghantar penyertaan pertamanya, sekali gus membuka ruang baharu dalam usaha memperkenalkan budaya Sabah kepada masyarakat di Sarawak.

Ketua Penyelaras RTK KDCA Sarawak 2026, Rosaidah Suhaimi berkata RTK diwujudkan sebagai platform yang menjadi jambatan budaya antara Sabah dan Sarawak, di samping mengeratkan hubungan silaturahim melalui semangat Kaamatan dan memperkasa bakat keterampilan belia Kadazandusun.

photo 2026 04 18 09 31 05

Menurut beliau, penganjuran ini turut memberi peluang kepada komuniti Kadazandusun di Sarawak untuk terus meraikan warisan budaya mereka walaupun berada jauh dari tanah asal, sekali gus memastikan jati diri, bahasa dan adat resam terus dipelihara dalam kalangan generasi muda.

photo 2026 04 18 09 31 28

“RTK juga berperanan membuka ruang kepada belia untuk menonjolkan identiti diri ,melahirkan pemimpin muda yang berkeyakinan dan berketerampilan, selari dengan usaha memastikan budaya kekal relevan mengikut arus perubahan zaman,” tambahnya.

Mengulas proses pemilihan peserta, pihak penganjur meneliti latar belakang kebudayaan, penglibatan dalam komuniti, kebolehan dalam seni dan bahasa ibunda, keyakinan diri dalam aspek komunikasi dan komitmen turut menjadi antara penilaian utama sepanjang sesi temu duga.

Beliau turut mengakui penganjuran pertama ini berdepan cabaran dalam memperkenalkan konsep “Randawi Tavantang” kepada masyarakat di Sarawak dan menyelaras komitmen peserta, namun ia menjadi pengalaman penting dalam menetapkan standard penganjuran pada masa akan datang.

photo 2026 04 18 09 31 56

Seramai lima finalis telah berjaya dipilih ke peringkat akhir iaitu Oliver Robert yang juga salah satu talent MTM yang tidak asing lagi, Ethan Hope Eric, Joven Waller Walter, Elterbeth Empah dan Ariel Emerson Alexson yang masing-masing membawa keunikan dan karisma tersendiri.

Pertandingan RTK Sarawak 2026 dijadualkan berlangsung pada 2 Mei bersempena acara kemuncak Unduk Ngadau Kaamatan, sekali gus menjadikannya simbol penyatuan budaya Sabah dan Sarawak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal