Kota Kinabalu: 14 April 2026- Sabah FC berpeluang menamatkan kemarau kejuaraan apabila mara ke pentas final Malaysian Football League (MFL) Challenge Cup 2026 yang akan berlangsung di Stadium Likas pada 19 April ini.
Perlawanan akhir itu menyaksikan Sabah FC terikat 1-1 dengan lawan pada aksi pertama di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, 4 April lalu, menjadikan aksi di Likas sebagai penentu juara.
Sebagai usaha menyemarakkan sokongan, kerajaan negeri akan mengagihkan 2,000 tiket percuma kepada penyokong secara “first come, first serve”.
Pengagihan tiket akan dilakukan di Pejabat Lembaga Sukan Negeri Sabah pada Sabtu ini.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata inisiatif itu bertujuan memastikan Stadium Likas dipenuhi penyokong.
“Inisiatif ini adalah tanda sokongan kerajaan negeri untuk memastikan Stadium Likas dipenuhi penyokong, sekali gus menyuntik semangat Sabah FC,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai hadir beramai-ramai memberikan sokongan kepada pasukan kebanggaan negeri itu.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dijangka hadir menyaksikan perlawanan akhir tersebut.
Dalam masa sama, kerajaan negeri turut mempertimbangkan insentif kepada Sabah FC sekiranya berjaya muncul juara.
Sumber: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif
