UMS temui kulat bertanduk pertama di dunia di Danum Valley

IMG 2733

LAHAD DATU: 13 April 2026- Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencatat penemuan spesies kulat bertanduk pertama di dunia di Kawasan Pemuliharaan Danum Valley, baru-baru ini.

Spesies dikenali sebagai Pleurocordyceps cornusynnemata itu disahkan menerusi penerbitan dalam jurnal taksonomi antarabangsa Phytotaxa.

Penemuan itu diketuai Prof Madya Dr Jaya Seelan Sathiya Seelan bersama pasukan penyelidik Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS.

Menurut beliau, kulat berkenaan mempunyai struktur menyerupai tanduk dan berbeza daripada 26 spesies lain dalam genus sama.

“Struktur ini membezakan spesies ini daripada yang pernah direkodkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kajian sama, dua lagi spesies iaitu Pleurocordyceps aurantiaca dan Pleurocordyceps nipponica turut direkodkan sebagai penemuan baharu di Malaysia.

Spesimen kulat itu kini disimpan di pusat rujukan BORNEENSIS IBTP UMS.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata penemuan itu membuktikan keupayaan saintis tempatan dalam penyelidikan bertaraf antarabangsa.

“Ini selari dengan aspirasi universiti dalam memperkasa penerokaan biodiversiti Sabah,” katanya.

Kajian berkenaan turut mendapat sokongan geran UMSGREAT serta kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah dan Yayasan Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal