KOTA KINABALU, 30 Mac — Seramai 1,026 individu menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri Sabah sempena sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, hari ini.
Daripada jumlah itu, tiga tokoh dianugerahkan Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran “Datuk Seri Panglima”, antara darjah kebesaran tertinggi negeri.
Mereka ialah bekas Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail; Pengarah Urusan FPSO Ventures Sdn Bhd, Abdul Farish Abd Rashid; dan Ketua Hakim Negara Malaysia ke-11, Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Sementara itu, seramai 79 individu dikurniakan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran “Datuk”.
Antara penerima ialah Pengerusi Persatuan Wartawan Kota Kinabalu, Goh Kian Kiong @ Jimmy; bekas atlet karate kebangsaan, Michelle Koh Sui Ling; Mohammad Ghazali Hajiji; Ahli Dewan Undangan Negeri, Mohd Kurniawan Naim Bung Moktar; Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Pang Pick Lim @ Joseph Pang; Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Saadiah Aziz; Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Walter Joseph Kenson; dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dr William Gotulis.
Dalam kalangan pengamal media, beberapa nama turut menerima pengiktirafan melalui darjah kebesaran berbeza.
Bagi Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK), antara penerima ialah Willie June Junaidi.
Penerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK) pula antara lain merangkumi Presiden Persatuan Wartawan Sabah merangkap wartawan kanan Borneo Post, Mariah Doksil; Penolong Ketua Wartawan merangkap wartawan sukan Borneo Post, Lester Joseph Bingkasan; wartawan RTM Sabah, Azlinah Nineng; penyampai Radio Sabah, Emran @ Azmi Rosle; dan pengarah filem, Ebi Kornelis @ Firdaus Yaimal.
Bagi Bintang Setia Kinabalu (BSK), antara penerima ialah wartawan kanan Daily Express, Joan Mool; Ketua Wartawan See Hua Daily News, Sim Kian Yun; dan Pengerusi Randawi Tavantang Kaamatan, Casey Kam Khew Chai.
Selain itu, seramai 249 individu menerima Bintang Kinabalu (BK) manakala 113 lagi dianugerahkan Sijil Kehormat (SK).
Kesemua penerima adalah antara individu yang diiktiraf atas sumbangan dan perkhidmatan mereka dalam pelbagai bidang termasuk keselamatan, kehakiman, pentadbiran, sukan dan media di negeri ini.
