KOTA KINABALU: 27 Mac 2026 – Detik bersejarah organisasi ASSEAN apabila menyaksikan perlantikan Presiden wanita pertama, Senator JCI Patricia Poh, yang juga merupakan seorang anak jati Sabah yang membanggakan di Majlis Perlantikan Preisden dan Mesyuarat Pertama Lembaga Pengarah ASSEAN 2026 yang berlangsung di Sheraton Hotel Kota Kinabalu pada Jumaat malam.

Presiden wanita pertama, Senator JCI Patricia Poh
Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET), Datuk Ewon Benedict dalam ucapannya mengalu-alukan kedatangan para perwakilan dan menzahirkan rasa bangga terhadap perlantikan pemimpin wanita pertama dari Bumi di bawah bayu.

Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET), Datuk Ewon Benedict
“Sesungguhnya adalah satu penghormatan besar bagi saya untuk mengalu-alukan kedatangan para perwakilan yang dihormati ke Kota Kinabalu, Malaysia, sempena Majlis Perlantikan Presiden wanita pertama anda—seorang anak jati Sabah yang membanggakan dan seorang wanita yang berwibawa,” ujar beliau, sambil memuji komitmen luar biasa ahli-ahli ASSEAN.

10 orang mantan Presiden
Seramai 10 orang mantan Presiden turut hadir pada malam tersebut bagi menyaksikan detik bersejarah itu, sekaligus membuktikan sokongan dan komitmen kukuh terhadap kepimpinan baharu persatuan tersebut.
Selanjutnya, Ewon merakamkan penghargaan atas jemputan yang diberikan dan mengucap tahniah kepada Presiden baharu, Senator JCI Patricia Poh, serta mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan barisan Lembaga Pengarah sepanjang penggal perkhidmatan mereka.

Mantan Presiden, Senator JCI Theodore Garcia
Beliau turut memuji Mantan Presiden, Senator JCI Theodore Garcia, atas kepimpinan berdedikasi serta kejayaan sepanjang tahun perkhidmatannya.
Selaras dengan peranan kementerian yang diterajuinya, Ewon berkata komitmen kerajaan negeri melalui MINDET akan terus menyokong pembangunan usahawan dan pemimpin muda, termasuk ahli-ahli JCI. Pelbagai inisiatif telah disediakan oleh kementerian seperti akses kepada pembiayaan, latihan keusahawanan, program pembangunan kapasiti, serta platform perangkaian strategik dengan pemain industri dan pelabur.
“Kami juga terus meningkatkan akses pasaran, termasuk menyokong usahawan tempatan untuk berkembang ke pasaran antarabangsa, sambil memperkukuh sistem logistik dan rantaian bekalan untuk memudahkan pertumbuhan perniagaan di Sabah,” katanya.
Beliau menyatakan keyakinan bahawa kerjasama erat antara kerajaan dan organisasi seperti ASSEAN akan terus melahirkan pemimpin berkebolehan dan usahawan kompetitif yang mampu menyumbang secara positif kepada masyarakat dan ekonomi.

Ewon berharap perhimpunan tersebut dapat mengukuhkan ikatan, menghidupkan semula persahabatan, dan memperkayakan lagi persaudaraan kukuh yang menjadi nadi kepada ASSEAN. Selain itu, semua ahli turut digalakkan untuk terus bekerjasama dalam perpaduan bagi memajukan organisasi dan meningkatkan impak positif kepada komuniti global yang lebih luas.
Majlis perlantikan yang penuh bermakna itu berakhir dengan suasana harmoni, melambangkan permulaan baharu di bawah kepimpinan wanita pertama ASSEAN.
