KOTA KINABALU, 18 Mac 2026 – Polis Daerah Kota Kinabalu mengesahkan penahanan seorang lelaki berusia 19 tahun dalam satu operasi cegah jenayah di sebuah pusat beli-belah di Jalan Sulaman, pada 15 Mac lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Syed Lot Syed Ab Rahman, berkata tangkapan dibuat kira-kira jam 3 petang oleh sepasukan anggota Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang menjalankan Ops Cegah Jenayah, Ops Lejang dan Ops Poket.
“Lelaki terbabit ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri atau dokumen perjalanan yang sah dan tidak memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan media.
Menurut Syed Lot, suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Jelasnya, suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, dan berasal dari latar belakang keluarga yang juga tidak memiliki dokumen sah.
“Suspek turut dikenal pasti sebagai pelajar di sebuah sekolah alternatif di kawasan Teluk Layan yang menempatkan pelajar tanpa dokumen diri,” jelasnya.
Tambah beliau, beberapa individu berkaitan telah dipanggil dan percakapan mereka dirakam bagi membantu siasatan.
Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara pada 16 Mac dan arahan lanjut telah diberikan termasuk pemeriksaan gigi oleh pegawai perubatan untuk menentukan umur dan mendapatkan laporan Imigresen bagi pengesahan status suspek.
Sementara itu, menurut beliau, suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis pada 17 Mac dengan dua penjamin tempatan sementara siasatan dilengkapkan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan dan sentiasa mematuhi undang-undang dengan memastikan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” tegasnya.
