KOTA KINABALU: 22 Februari 2026 — Negeri Sabah yang kini mencatat jumlah kes tuberkulosis (tibi) tertinggi di Malaysia mendorong tindakan lebih agresif pihak berkuasa kesihatan negeri bagi mengekang penularan penyakit berjangkit tersebut.
Sehubungan itu, Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR) bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memperluas pemantauan, pengesanan awal, rawatan bagi memastikan kes baharu dapat dikesan dan dirawat dengan segera.
Peningkatan kes tibi dipercayai berpunca dari penularan melalui udara di kawasan sesak dan tertutup, interaksi sosial yang lebih aktif dan aktiviti saringan yang diperluaskan, sekali gus mendedahkan lebih banyak kes sedia ada dalam komuniti.
Julita Majungki, berkata orang ramai tidak perlu panik tetapi perlu berwaspada dengan mengamalkan kebersihan pernafasan, memastikan pengudaraan mencukupi dan mendapatkan pemeriksaan kesihatan sekiranya mengalami batuk berpanjangan melebihi dua minggu.
“Kerajaan negeri memberi jaminan pemantauan berterusan akan dilakukan bagi melindungi kesihatan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan media.
Dalam perkembangan berkaitan, Julita turut melawat pusat pemindahan sementara di SMK Tandek dan SMK Tandek 2 di Kota Marudu susulan kejadian banjir akibat hujan berterusan.

Beliau berkata PPS beroperasi dengan baik melalui penyelarasan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) serta kerjasama agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
Beberapa kampung terjejas dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga, manakala keadaan cuaca dilaporkan semakin stabil dengan paras air menurun dan tiada laporan kematian atau kecederaan.
KWKKR menegaskan pemantauan terhadap situasi tibi dan bantuan kepada komuniti terjejas banjir akan terus diperkukuh bagi memastikan kesejahteraan rakyat negeri ini terpelihara.
Sumber:Kenyataan Media KWKKR Sabah
Cap gambar depan: YB Julita (keempat dari kanan) menyampaikan sumbangan kit kebersihan diri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Mercy Malaysia kepada mangsa banjir di SMK Tandek semasa lawatan beliau
