LAHAD DATU: 9 Februari 2026 – Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu menahan tiga lelaki warga asing dan merampas dadah jenis syabu seberat 10.66 gram dalam dua serbuan berasingan, dalam Operasi Tapis yang dijalankan pada ahad.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu berkata dalam serbuan pertama, pihaknya menahan seorang lelaki di kawasan belakang sebuah bangunan komersial di Jalan Reno Fajar, Lahad Datu.
Hasil pemeriksaan mendapati suspek memiliki satu paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 5.21 gram.
Serbuan kedua pula dijalankan di sebuah stesen minyak di Jalan Silam, Lahad Datu, yang membawa kepada penahanan dua lelaki warga asing.
Hasil pemeriksaan lanjut menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki syabu seberat 5.45 gram serta beberapa peralatan berkaitan penyalahgunaan dadah.
Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah.
Kesemua suspek kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah secara bekalan, manakala dua daripada suspek turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana penyalahgunaan dadah.
Sumber: Polis Daerah Lahad Datu
