KOTA KINABALU: 6 Februari 2026 – Kerajaan Sabah memperuntukkan RM98.06 juta tahun ini bagi memperkasa pembangunan belia dan memajukan sektor sukan Sabah, termasuk menaikkan insentif kemenangan atlet dan menubuhkan tabung kebajikan khas untuk penggiat sukan.
Ketua Menteri, Datuk Haji Hajiji Haji Noor berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, RM16.75 juta disalurkan untuk pembangunan modal insan belia dan geran persatuan, manakala RM27.21 juta khusus bagi pembangunan sukan.

Beliau turut mengumumkan pelancaran Tabung Kebajikan Penggiat-penggiat Sukan Sabah bagi membantu atlet dan bekas atlet yang sakit, cedera atau memerlukan sokongan perubatan dan peralatan.
“Tabung Kebajikan ini juga akan menyediakan bantuan perubatan dan memberi sokongan peralatan kepada bekas atlet negara dan negeri Sabah yang sakit, cedera atau memerlukan bantuan lanjut,” katanya.
Dalam usaha meningkatkan motivasi atlet, kerajaan Sabah turut menggandakan insentif pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2024.

“Saya sendiri telah menaikkan jumlah insentif kemenangan atlet semasa Sukma dari RM5,000 ke RM10,000 untuk pingat emas,” tambahnya.
Hajiji menegaskan pembangunan sukan kekal sebagai agenda utama kerajaan bagi melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi, namun pada masa sama mengingatkan golongan muda supaya tidak mengabaikan pencapaian akademik.

Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah 2023–2024 itu turut dihadiri Tuan Yang Terutama Tun Haji Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Hajah Faridah Tusin.
