KOTA KINABALU: 13 Januari 2026 – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah menegaskan bahawa pelaksanaan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) merupakan bukti keprihatinan kerajaan dalam memastikan murid dapat memulakan sesi persekolahan dengan baik tanpa sebarang kekangan kewangan, khususnya bagi keluarga berpendapatan rendah.
Pengarah JPN Sabah, Datuk Haji Raisin Bin Saidin berkata, “pendidikan merupakan tiang seri dalam membina masyarakat maju dan harmoni, justeru usaha memajukan sektor pendidikan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.”

Beliau menyeru ibu bapa dan penjaga agar memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang proses pengagihan BAP serta bersama pihak sekolah mengekalkan prestasi cemerlang murid sepanjang tahun.
Beliau turut menegaskan agar “ pihak sekolah mematuhi peraturan dan tatacara pengurusan kewangan, termasuk Surat Pekeliling Kewangan Bil. 5 Tahun 2025, bagi memastikan pelaksanaan BAP berjalan teratur dan telus.”

Ucapan bagi pihak Pengarah JPN Sabah telah disampaikan oleh Tuan Muddin bin Beting, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah seterusnya Majlis penyerahan BAP disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, dan dihadiri pegawai JPN Sabah, warga pendidik, murid-murid serta wakil media.
