Pemandu Warga Emas Cedera Dalam Kemalangan

Untitled design 20251226 221050 0000

BELURAN: 26 Disember 2025 – Seorang lelaki warga emas cedera selepas kenderaan jenis Vigo satu pintu yang dipandunya terbabas ke dalam parit sedalam kira-kira lima kaki di laluan Sandakan–Beluran, awal pagi tadi.

Mangsa, Michael Tay, 69 tahun, sedang dalam perjalanan pulang dari Sandakan ke ladang Malsa, Beluran ketika kejadian berlaku di kawasan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sekitar tengah malam.

Walaupun keadaan jalan raya dilaporkan baik, mangsa memaklumkan beliau mengalami kesukaran melihat penghadang jalan raya pada waktu malam.

Seorang saksi yang melalui laluan sama membatalkan hasrat untuk memotong selepas melihat kenderaan mangsa bergerak tidak terkawal, sebelum meluncur laju dan terbabas ke dalam parit yang dipenuhi air.

Saksi bersama beberapa pengguna jalan raya lain segera memberikan bantuan awal dan menenangkan mangsa, yang mengalami kecederaan pada muka akibat serpihan kaca serta pendarahan.

Polis dari Balai Polis Ulu Dusun tiba di lokasi pada jam 12.10 tengah malam, diikuti ketibaan menantu mangsa pada jam 12.35 tengah malam dan ambulans dari Hospital Beluran pada jam 12.53 tengah malam.

Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Kes masih dalam siasatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal