Volt Prihatin Rapatkan KV dan Komuniti Melalui Penyelenggaraan Elektrik

photo 2025 12 15 08 11 04

KENINGAU: Volt Prihatin merupakan satu projek komuniti yang baru dilancarkan oleh program teknologi elektrik Kolej Vokasional (KV) Keningau bertujuan untuk memberi perkhidmatan penyelenggaraan sistem pendawaian dan perkakas elektrik yang percuma kepada komuniti setempat termasuklah sekolah-sekolah dan orang awam.

KV Keningau telah menjalinkan kerjasama dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bariawa Ulu untuk membolehkan para pelajar teknologi elektrik melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan tapak dan seterusnya penyelenggaraan di bangunan sekolah tersebut pada 4 dan 11 Disember 2025.

Selain daripada projek penyelenggaraan sistem pendawaian elektrik di premis bangunan, projek ini menyediakan perkhidmatan percuma membaiki peralatan dan perkakas elektrik melalui konsep “repair café” ataupun café pembaikan.

Orang awam boleh menghantar peralatan elektrik seperti kipas meja dan ketuhar gelombang mikro yang telah rosak atau gagal untuk berfungsi ke bengkel teknologi elektrik di KV tersebut dimana para pelajar program ini, dengan pemantauan tenaga pengajar, akan memeriksa kerosakan dan kemudiannya berusaha membaiki peralatan-peralatan ini.

Usaha ini telah menerima maklumbalas positif setelah menerima beberapa peralatan untuk diperbaiki dan hampir separuh perkakas-perkakas yang telah dihantar telah siap diperbaiki dan dipulangkan semula kepada pemilik.

photo 2025 12 15 08 11 09

Projek ini telah diasaskan oleh salah seorang guru daripada program tersebut, Junaidah Tahir, dengan sokongan rakan guru daripada program teknologi elektrik termasuklah ketua jabatan dan ketua program memandangkan projek ini memerlukan dana untuk menampung kos asas seperti perbelanjaan melawat premis-premis tertentu.

Program ini bercadang untuk memperkembangkan lagi projek ini dengan mengadakan kerja-kerja penyelenggaraan di premis-premis lain termasuklah premis yang bukan di bawah kerajaan seperti rumah anak yatim.

Walapun perkhidmatan yang disediakan percuma buat masa ini, program ini merancang untuk mengenakan bayaran minima dimasa hadapan sebagai langkah agar projek ini mampu diteruskan dengan memastikan kos asas dapat ditampung.

Guru besar SK Kampung Bariawa Ulu, Mazzelli Kasimin, mengalu-alukan kerjasama tersebut lebih-lebih lagi dia telah mengambil langkah proaktif memperkasakan penguasaan STEM para murid-murid di sekolah tersebut dan inovasi pembelajaran di kalangan guru dan kerjasama ini mampu membantu merealisasikan matlamat tersebut. 

Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang, menyatakan sokongan penuh kepada projek ini kerana ianya bukan sahaja membolehkan para pelajar mempraktikkan kemahiran vokasional mereka di lapangan, malah ianya membantu memupuk nilai-nilai kemanusiaan di kalangan para pelajar sambil memperkasakan peranan guru kepada komuniti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal