PUTRAJAYA: 16 November 2025 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan penjualan produk ASGG Gluta Genc Glow Gummies dihentikan serta-merta selepas didapati tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Menurut KKM, produk tersebut mengandungi bahan aktif Glutathione yang tidak tersenarai sebagai nutrien yang dibenarkan dalam makanan.
Bahan tersebut sepatutnya hanya boleh digunakan dalam produk berdaftar di bawah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), oleh itu, produk ini tidak boleh dijual dan tidak boleh diiklankan.
Hasil semakan mendapati produk itu dipasarkan melalui beberapa platform e-dagang termasuk Shopee, Lazada dan TikTok.
Setakat 10 November, sebanyak 121 permohonan sekatan pengiklanan telah dikemukakan kepada penyedia platform terlibat.
Di bawah Seksyen 13B(2)(d) Akta Makanan 1983, mana-mana pihak yang menjual makanan mengandungi bahan tidak dibenarkan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun.
KKM turut mengarahkan semua peniaga dan pengedar termasuk peniaga atas talian untuk menghentikan penjualan produk tersebut serta-merta dan melapor kepada Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.
Orang ramai yang menggunakan produk ini dinasihatkan berhenti segera dan mendapatkan nasihat profesional kesihatan.
Sebarang pertanyaan berkaitan keselamatan makanan boleh dibuat melalui SISPA atau laman rasmi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan,KKM.
Sumber: Kenyataan Media Kementerian Kesihatan Malaysia
