KOTA KINABALU: 7 November 2025 — Pelakon veteran Puan Hajah Dayang Hasnah Pengeran Ibrahim, 74, meluahkan rasa terharu dan berterima kasih atas perhatian yang diberikan oleh FINAS kepada artis-artis lama di negeri ini.
“Sebagai penggiat seni lakon dari Sabah, apabila menerima kunjungan daripada FINAS Malaysia, saya benar-benar terharu. Saya rasa sangat bersyukur dan berterima kasih kerana masih diingati. Terlalu besar rasa terima kasih saya kepada pihak FINAS Malaysia dan juga rakan-rakan karyawan di Sabah,” katanya ketika ditemui.

Kehadiran delegasi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi Program Lawatan Seni MADANI di Sabah baru-baru ini meninggalkan kesan mendalam kepada penggiat seni tempatan, khususnya kalangan artis veteran.
Mengulas tentang keadaan kesihatannya, Hajah Dayang Hasnah yang merupakan pesakit strok sejak 2022 berkata, beliau kini semakin pulih dan sudah mampu berjalan menggunakan tongkat.

“Dulu saya hanya bergantung kepada kerusi roda, tetapi berkat semangat dan doa anak-anak, cucu-cucu serta kawan-kawan, saya kini boleh berjalan dengan tongkat. Jika ada watak yang sesuai dengan keadaan saya, Insya-Allah saya masih ingin berlakon,” katanya dengan senyuman.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah FINAS, Dato’ Hans Isaac, yang mewakili Menteri Komunikasi, YB Dato’ Sri Fahmi Fadzil, atas inisiatif menjayakan program Lawatan Kasih MADANI di Sabah.
“Saya berbesar hati dengan apa yang disampaikan oleh Dato’ Hans Isaac. Harapan saya agar industri lakonan di Sabah akan terus berkembang, bukan hanya untuk kami yang lama dalam bidang ini, tetapi juga untuk pelakon-pelakon baharu. Semoga lebih banyak bakat baharu dicungkil dari negeri ini,” ujarnya.

Dalam dunia seni, nama Hajah Dayang Hasnah bukanlah asing. Beliau mula aktif dalam bidang lakonan sejak tahun 1974 melalui drama “Mat Salleh” terbitan RTM Sabah yang disiarkan dalam versi hitam putih.
Sepanjang hampir lima dekad bergiat dalam industri, beliau pernah membintangi pelbagai drama dan filem termasuk Puteri Salamiah, Menongak ke Puncak, Misteri Bobolian, dan filem terkini Syurga Dalam Botol.
“Saya paling ingat watak dalam Puteri Salamiah kerana saya membawa dua peranan serentak — sebagai Nenek Kebayan di kayangan dan Embun di bumi. Begitu juga dalam Misteri Bobolian, saya berlakon sepenuhnya dalam bahasa Kadazandusun, dan dalam Syurga Dalam Botol pula, saya melakonkan watak berbahasa Suluk walaupun saya sendiri bukan penutur bahasa itu. Semua itu pengalaman berharga yang saya akan kenang,” katanya.
Program Lawatan Seni MADANI yang dijalankan FINAS ini bertujuan menyantuni penggiat seni tempatan dan veteran industri kreatif di seluruh Malaysia, di samping memperkukuh hubungan antara karyawan lama dan baharu di bawah agenda MADANI.
Program lawatan berkenaan turut dihadiri oleh wakil daripada Sabah Film and Video Association (SAFVA) yang hadir bersama-sama bagi menghargai sumbangan Puan Hajah Dayang Hasnah terhadap kemajuan industri kreatif di Sabah.
