PENAMPANG: 4 November 2025 – Sebanyak 182 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Sabah menerima manfaat bantuan kewangan berjumlah RM18.9 juta di bawah Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) 2.0 dan BEEP Plus, sekaligus memperkukuh ekosistem keusahawanan tempatan.
Bantuan berbentuk geran itu disalurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensinya, SME Corp. Malaysia, dalam usaha meningkatkan daya saing usahawan Bumiputera di peringkat negeri.
Majlis penyampaian bantuan berkenaan diadakan sempena Hari Terbuka Hab PMKS Sabah yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyerahkan cek cura bernilai RM1.3 juta kepada 18 penerima program BEEP 2.0, BEEP Plus dan Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE).
Program BEEP menyediakan sokongan komprehensif termasuk khidmat nasihat, latihan, bantuan teknikal dan pembiayaan sehingga RM500,000 bagi memperkukuh daya tahan perniagaan PKS Bumiputera. Manakala BEEP Plus, di bawah dana Mikro MADANI, menawarkan geran padanan sehingga RM250,000 kepada usahawan mikro khususnya di Sabah dan Sarawak.
Hari Terbuka Hab PMKS itu turut menjadi platform interaktif antara agensi kerajaan dan komuniti usahawan bagi mendapatkan khidmat nasihat, akses kepada program bantuan serta peluang memperluas rangkaian perniagaan.
Inisiatif ini bukan sahaja sebagai pemacu ekonomi negeri tetapi juga sebagai langkah strategik mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah di Malaysia.

