90 pelajar KV Sabah sertai Kem Kepimpinan MADANI

4ab8ccf0 a836 48f7 8da9 ce4cc49ad0df

Oleh: Nurul Fazliana Norman

KENINGAU: 4 November 2026 – Kem Kepimpinan Generasi MADANI Kolej Vokasional (KV) Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan (W.P.) Labuan berjaya menghimpunkan 90 pelajar dari sembilan kolej vokasional menerusi program tiga hari di Keningau Riverfront Park, Bandukan, Keningau, dari 30 Oktober hingga 1 November lalu.

Program julung kali dianjurkan itu bertujuan memupuk penghayatan konsep Malaysia MADANI, membentuk kemahiran kepimpinan, kerjasama berpasukan, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah dalam kalangan pelajar.

Program anjuran Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV), Kementerian Pendidikan Malaysia itu menyaksikan KV Keningau bertindak sebagai tuan rumah.

Antara pengisian utama ialah aktiviti kajian lapangan dan tanggungjawab sosial yang membawa peserta mengunjungi beberapa kampung berhampiran untuk mengenali dan memahami cabaran sosioekonomi masyarakat setempat.

184713f1 8328 4158 9db7 9e5c44921d4a

Menerusi aktiviti itu, peserta berpeluang menemubual dan membantu beberapa keluarga, mengenal pasti isu dan mencadangkan langkah penyelesaian berdasarkan keadaan yang dihadapi.

Acara kebudayaan turut menarik perhatian menerusi persembahan tarian tradisional pelbagai suku kaum di Sabah dan W.P. Labuan. Terdapat juga lakonan pendek yang mengetengahkan peristiwa bersejarah dan cerita rakyat di zon itu.

Peserta turut mengikuti latihan kawad kaki kendalian Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pelbagai aktiviti berkumpulan, meningkatkan disiplin dan semangat kerjasama.

407eebda b5e4 4925 ad74 23735a63cb8e

Majlis penutupan kem disempurnakan Christine Stanislaus Kinsik, wakil pengarah-pengarah kolej vokasional Zon Sabah dan Labuan, yang juga Pengarah KV Sandakan 2 dan bekas Pengarah KV Keningau.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Akademik KV Keningau, Amirul Ahuar Abdullah berkata, program itu mampu membentuk peserta menjadi individu yang lebih prihatin terhadap masyarakat sekeliling.

“Melalui kem ini, para peserta dapat menjadi lebih prihatin terhadap masyarakat sekeliling dan memanfaatkan kemahiran yang dipelajari di kolej vokasional untuk membantu komuniti setempat,” katanya.

Amirul berharap, pengalaman yang diperoleh sepanjang program itu dapat mendorong peserta menggunakan pengetahuan dan kemahiran vokasional mereka untuk memberi sumbangan kepada masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal