62 warga asing ditahan dalam Operasi Khas Salah Guna Pas

4C75C849 BC95 4FDE 99CE A2D743E14AD1 76E143AF 03BA 41E5 AEC5 3DF05B2DC5E9

SEPANG: 19 Jun 2026 – Seramai 62 warga asing ditahan dalam operasi khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang menyasarkan kesalahan salah guna pas di beberapa lokasi sekitar Selangor, Isnin lalu.

Operasi yang dijalankan di Cyberjaya, Bandar Seri Putra, Bandar Teknologi Kajang, Seri Kembangan, Sepang dan Dengkil itu melibatkan 30 pegawai penguat kuasa.

Sebanyak 17 premis diperiksa termasuk kilang pembuatan perabot, kilang papan, kedai makan, kedai runcit dan kawasan penjaja yang dikenal pasti sebagai tumpuan warga asing.

Hasil pemeriksaan ke atas 210 individu, seramai 62 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Siasatan awal mendapati sebahagian daripada mereka dipercayai menyalahgunakan kemudahan pas dengan menjalankan pekerjaan atau aktiviti yang tidak selaras dengan tujuan asal kemasukan ke negara ini.

Dalam operasi sama, 11 saman kepada saksi dikeluarkan kepada majikan untuk membantu siasatan berkaitan penggajian warga asing dan tahap pematuhan terhadap peraturan imigresen.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk dokumentasi, siasatan dan tindakan lanjut.

JIM menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi membanteras salah guna pas dan penyalahgunaan kemudahan imigresen, selain mengingatkan majikan supaya mematuhi syarat penggajian pekerja asing yang ditetapkan.

Sumber : Jabatan Imigresen Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal