755 PATI Filipina diusir pulang melalui Sandakan

c10299d1 d607 4084 b796 383deead8d2e

SANDAKAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah mengusir pulang seramai 755 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina melalui jalan laut, semalam.

Operasi pemindahan Siri 4/2026 dari Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City menaiki kapal MV Antonia 1 itu membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Sandakan.

Kesemua mereka terdiri dari 669 lelaki dewasa, 63 wanita dewasa dan 23 kanak-kanak (14 lelaki dan sembilan perempuan) berusia antara enam bulan hingga 69 tahun. Kanak-kanak terbabit diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing.

Pada hari sama, JIM Sabah melalui Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Papar turut mengusir 12 lagi PATI melalui laluan udara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ke KLIA sebelum diterbangkan pulang ke negara asal.

Mereka membabitkan 10 lelaki Pakistan, seorang lelaki India dan seorang wanita Vietnam.

Kejayaan itu menjadikan jumlah keseluruhan PATI yang dihantar pulang oleh JIM Sabah setakat tahun ini mencecah 10,006 orang. Ia merangkumi 7,670 warga Filipina, Indonesia (1,960), China (156), Pakistan (153), Vietnam (30) dan lain-lain negara (37).

Menurut JIM Sabah, kesemua tahanan sudah selesai menjalani hukuman mengikut undang-undang negara dan dilengkapi dokumen perjalanan sah sebelum proses pengusiran dilaksanakan.

Untuk memastikan kelancaran operasi dan mengelakkan kesesakan di depot tahanan, JIM Sabah menyeru kerjasama Kedutaan Filipina untuk mempercepatkan pengeluaran Travel Document.

JIM Sabah juga menggesa majikan di negeri ini, khususnya dalam sektor perladangan, menyokong penuh program pendataan digital warga asing kelolaan Kerajaan Negeri Sabah demi membendung lambakan pekerja asing.

Jabatan itu menegaskan tidak akan berkompromi dengan majikan yang berdegil melindungi PATI. Tindakan tegas di bawah Akta Imigresen 1959/63 menanti mereka, termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal