560 Jawatan Tetap Pegawai Perubatan Untuk Sabah Mulai Oktober

bedec24e 6fce 4d57 975f 49c00bc5b364

KOTA KINABALU, 11 Julai – Kerajaan Sabah menyambut baik keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menawarkan 560 jawatan tetap Pegawai Perubatan di Sabah bermula Oktober ini sebagai langkah penting menangani kekurangan tenaga kesihatan yang sekian lama dihadapi, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, dalam satu kenyataan hari ini berkata, penambahan jawatan itu mencerminkan keperluan mendesak untuk memperkukuh perkhidmatan kesihatan di wilayah Sabah.

“Kerajaan negeri menghargai komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menambah bilangan Pegawai Perubatan di Sabah. Pada masa sama, perhatian juga perlu diberikan bagi memastikan pegawai yang dilantik melapor diri dan terus berkhidmat di Sabah dalam jangka masa panjang,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa usaha memperkukuh sistem kesihatan negeri tidak hanya bergantung kepada pengambilan kakitangan baharu, sebaliknya perlu disokong dengan langkah berkesan bagi mengekalkan tenaga kesihatan.

“Antara cadangan yang pernah dibangkitkan ialah mengembalikan dan memperkukuh Bayaran Insentif Wilayah (BIW), meningkatkan sokongan kepada petugas kesihatan yang berkhidmat di daerah luar bandar dan pedalaman serta mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif,” katanya.

Julita berkata, kerajaan negeri komited untuk terus bekerjasama rapat dengan KKM dalam memperkukuh sistem perkhidmatan kesihatan di Sabah, termasuk menangani isu kekurangan tenaga kerja dan meningkatkan akses rakyat kepada kemudahan kesihatan berkualiti.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa seramai 4,172 pegawai perubatan akan ditawarkan pelantikan tetap dan melapor diri pada Oktober 2026, dengan 560 daripadanya ditempatkan di Sabah.

Beliau berkata, berdasarkan anggaran kadar melapor diri sebanyak 50 peratus, kira-kira 280 pegawai dijangka menerima penempatan di Sabah, sekali gus membantu menutup jurang kekurangan 256 pegawai perubatan yang masih diperlukan.

Hanifah Hajar memaklumkan ketika ini Sabah mempunyai 2,803 jawatan pegawai perubatan, dengan 1,863 jawatan (66.5 peratus) telah diisi, 366 pegawai (13.1 peratus) sedang cuti belajar, manakala 570 jawatan (20.3 peratus) masih kosong. Demi menampung kekosongan itu, seramai 680 doktor kontrak telah ditempatkan.

Beliau juga berkata, KKM mewajibkan pegawai perubatan kontrak yang dilantik tetap memilih sekurang-kurangnya satu penempatan di Sabah, Sarawak atau Labuan melalui penambahbaikan sistem e-Placement mulai 2025.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal