KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan digesa untuk tidak meminggirkan suara dan pendirian Kerajaan Sabah dalam menggubal sebarang undang-undang dan dasar berkaitan perhutanan, perubahan iklim dan pasaran karbon negara.
Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, berkata Sabah merupakan penyumbang utama kepada usaha Malaysia menjaga alam sekitar di peringkat dunia, termasuk janji negara dalam Perjanjian Paris dan Matlamat Pembangunan Mampan PBB.
Beliau berkata Sabah mencatatkan liputan hutan tertinggi di Malaysia iaitu 62.53 peratus, diikuti Sarawak (61.52 peratus), jauh mengatasi purata nasional 54.4 peratus.
“Dengan liputan hutan seluas ini, Sabah secara langsung sedang ‘mensubsidi’ sasaran kelestarian dan komitmen iklim negara. Justeru, pandangan Kerajaan Negeri wajib diambil kira dalam penggubalan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara dan pelaksanaan Dasar Pasaran Karbon yang dilancarkan April lalu.
“Walaupun tanah dan hutan adalah bidang kuasa mutlak negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan, Putrajaya wajar menambah dana Ecological Fiscal Transfer (EFT) kepada Sabah sebagai pulangan adil atas peranan negeri ini memelihara khazanah hutan negara,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Dewan Rakyat, hari ini.
Ewon turut meminta tambahan peruntukan supaya lebih banyak telaga paip dan sistem penapis air dibina di kampung luar bandar Sabah melalui BALBA.
Katanya, keperluan itu sangat mendesak, terutama di kawasan berbukit seperti Penampang dan Kadamaian yang masih tiada bekalan air bersih dan sering menghadapi masalah air setiap kali musim kemarau.
Beliau juga meminta penjelasan mengenai skop kajian bencana alam RM65 juta di Sabah dan meminta hasilnya diserahkan kepada Kerajaan Sabah untuk persediaan menghadapi bencana.
Ewon turut membangkitkan keperluan memulihkan semula bekas lombong tembaga Mamut di Ranau supaya kawasan tersebut dapat dibangunkan menjadi lokasi produktif kepada ekonomi negeri.
Menyentuh aspek pemeliharaan alam sekitar, beliau mengalu-alukan peruntukan RM411,000 bagi Projek Heart of Borneo (HOB) Sabah, namun mencadangkan kementerian menyediakan dana tahunan khusus untuk melestarikan Kinabalu UNESCO Global Geopark dan Banjaran Crocker Penampang–Keningau.
Beliau juga meminta komitmen NRES untuk bekerjasama memelihara ekosistem di sekitar kawasan perindustrian baharu negeri, iaitu Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat yang bersempadan dengan Taman Marin Tun Mustapha, dan Taman Perindustrian POIC Lahad Datu yang dikelilingi kawasan hutan paya bakau.
Sumber: Datuk Ewon Benedict Media
