LAHAD DATU: 20 Jun 2026 – Seramai 166 tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Filipina dipindahkan ke negara asal melalui Pelabuhan Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi, Filipina menggunakan perkhidmatan feri komersial.
Program pemindahan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah itu melibatkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Depot Imigresen Sandakan.
Daripada jumlah tersebut, seramai 143 lelaki dewasa, enam wanita dewasa, sembilan kanak-kanak lelaki dan lapan kanak-kanak perempuan berusia antara empat bulan hingga 66 tahun dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
Kesemua kanak-kanak yang terlibat turut diiringi oleh ibu bapa atau penjaga sepanjang proses penghantaran pulang.
Sebelum ini, pada 16 Jun lalu, JIM Sabah turut melaksanakan pemindahan 11 tahanan PATI warganegara Filipina dari Depot Imigresen Kota Kinabalu ke Manila melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Pada tarikh yang sama, seramai sembilan tahanan PATI warganegara China dari Depot Imigresen Tawau turut dipindahkan ke negara asal melalui penerbangan terus dari Lapangan Terbang Tawau ke Guangzhou, China.
Sehingga kini, seramai 2,428 tahanan PATI warganegara Filipina dan 70 tahanan warganegara China telah dipindahkan ke negara asal daripada keseluruhan 3,625 tahanan warga asing yang direkodkan.
Semua tahanan yang dipindahkan telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta memiliki dokumen perjalanan yang sah bagi melayakkan mereka mengikuti proses penghantaran pulang.
JIM menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana majikan yang menggaji atau melindungi pekerja asing tanpa dokumen sah.
Majikan yang didapati melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan.
Sumber: Jabatan Imigresen Negeri Sabah
