KREATIF SABAH sokong penuh penubuhan Hub Kreatif Sabah

Hub Kreatif

KOTA KINABALU: 22 Julai 2026 – Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (KREATIF SABAH) menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan penubuhan Hub Kreatif Sabah. Cadangan itu dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Kassim Razali, ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Selasa lalu.

Setiausaha Agung KREATIF SABAH, Nazri Saidali, berkata idea mewujudkan pusat sehenti untuk sektor seni dan industri kreatif bukanlah baharu. Pelbagai mesyuarat, sesi libat urus dan perbincangan meja bulat telah diadakan sejak lebih sedekad lalu. Namun sehingga kini, cadangan itu masih belum direalisasikan kerana tiada tindakan konkrit yang menyusuli.

Nazri optimis bahawa cadangan penubuhan Hab Kreatif Sabah kini mempunyai peluang lebih cerah untuk direalisasikan. Ini berikutan penubuhan portfolio Ekonomi Kreatif di bawah Kementerian Belia dan Sukan Sabah oleh Kerajaan Negeri. Portfolio itu ditubuhkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, pada penghujung tahun lalu.

Langkah itu dilihat sebagai manifestasi komitmen kerajaan dalam memperkukuh pembangunan industri kreatif sebagai salah satu sektor strategik ekonomi negeri.

Nazri, yang juga Pengerusi Persatuan Komposer, Penulis Lirik dan Artis Nasyid Sabah (KOPAN), berkata Sabah tidak boleh terus ketinggalan dalam pembangunan industri kreatif. Ekonomi kreatif atau orange economy kini diiktiraf sebagai antara sektor berpotensi tinggi dalam menjana pertumbuhan ekonomi.

Menurut beliau, pembangunan sektor ini bukan sahaja meningkatkan sumbangan kepada ekonomi negeri. Ia juga berupaya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, melahirkan usahawan kreatif baharu dan memperkasa bakat tempatan, terutamanya dalam kalangan belia Sabah.

“Hab Kreatif Sabah bukan sekadar sebuah pusat fizikal, tetapi berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem industri kreatif yang lebih tersusun, inklusif dan berdaya saing. Ia boleh menjadi platform untuk latihan, pembangunan bakat, inkubasi perniagaan kreatif, jaringan industri serta pemasaran produk dan perkhidmatan kreatif tempatan,” katanya.

Nazri menegaskan bahawa KREATIF SABAH, sebagai salah satu pemegang taruh utama dalam industri kreatif negeri, komited terus bekerjasama rapat dengan kerajaan dan semua pihak berkepentingan. Matlamatnya adalah memastikan setiap perancangan dan inisiatif yang dilaksanakan mencapai objektif demi memajukan industri kreatif Sabah ke tahap lebih tinggi.

KREATIF SABAH merupakan pertubuhan gabungan persatuan kreatif di Sabah yang mewakili pelbagai bidang seni dan industri kreatif. Cadangan penubuhan Hub Kreatif Sabah bertujuan menyediakan pusat pembangunan ekosistem kreatif yang komprehensif di negeri ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal