KALABAKAN: 17 Ogos 2026 — Kira-kira 1,500 penduduk Kalabakan dan kawasan sekitar menyertai Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat (KIS) X Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 di Dewan Semai Bakti, Felda Umas, pada Sabtu.
Sejak dilancarkan pada Januari 2025, KIS telah menjangkau lebih 148,300 peserta di seluruh Sabah menerusi program advokasi dan pendidikan digital.
Program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu memberi fokus kepada kesedaran penggunaan Internet secara selamat dan bertanggungjawab.
Antara aktiviti yang diadakan ialah Merdeka Fun Run, Pertandingan Busana Citra Malaysia dan Sukaneka Rakyat.
Bank Negara Malaysia (BNM) turut berkongsi maklumat mengenai taktik penipuan kewangan dan penyamaran identiti.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, berkata keselamatan Internet penting untuk memastikan masyarakat mampu menggunakan teknologi dengan selamat.
“Keselamatan Internet bukan lagi sekadar isu teknologi, malah berkait secara langsung dengan keupayaan rakyat melindungi maklumat peribadi, simpanan dan kesejahteraan keluarga dari ancaman jenayah siber,” katanya ketika merasmikan program itu.
Agensi lain yang menyediakan maklumat dan khidmat nasihat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Sains Xplor.
Sumber: JAPEN

