Charity Hike Ranau 2025 Himpun Dana RM8,035 Bantu Pelajar Talasemia

RANAU: 20 Oktober 2025 – Program Charity Hike Ranau 2025 mencipta impak positif apabila berjaya mengumpul dana sebanyak RM8,035 bagi menyokong misi Advokasi Pendidikan untuk Pelajar Talasemia (EduCARE) Ranau. Dana tersebut akan disalurkan kepada Unit Rawatan Harian Talasemia, Hospital Ranau untuk pembelian keperluan pendidikan pesakit talasemia.

Program yang menggabungkan elemen kebajikan, pelancongan lestari, dan kesukarelawanan berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap cabaran yang dihadapi pesakit talasemia, di samping menggalakkan penglibatan aktif dalam usaha membina komuniti yang lebih prihatin dan berdaya saing.

Menurut Jack Arrey, penganjuran Charity Hike itu merupakan hasil perbincangan kolaboratif antara Unit Rawatan Harian Talasemia Ranau dan Pengasas EduCARE, Hallsen Justin, pada 14 Ogos 2025. Inisiatif berkenaan kemudian mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuk Mr. Kaamatan State Level, NadyAbsy Escapades, EduCARE, dan Persatuan Talasemia Ranau selaku rakan penganjur rasmi.Perancangan program bermula dengan penetapan matlamat, penyediaan kertas kerja, serta kerjasama bersama sukarelawan dan pasukan pendaki seperti Elljoan Outdoor, Three OBS, Mekar Borneo, JJ Borneo Transport & Travel, Logot Adventure, Klopsia, dan Tualang Tiga.

Program ini turut mendapat tajaan daripada pelbagai pihak termasuk Clore, Nuhea, Umbalai Podcast, SDS Advance, Patod Campsite & Waterpark, Restoran Sejati, D’ Bamboo Corner, MTM Talent Management, Lupa Masa Rainforest serta individu prihatin.

Lokasi pilihan, iaitu Air Terjun Langanan dan Sub Stesen Poring, dipilih berdasarkan keindahan alam semula jadi, keselamatan laluan, serta kemudahan asas yang sesuai untuk peserta pelbagai peringkat. Lokasi ini turut memiliki potensi besar sebagai destinasi pelancongan eko dan mendapat kerjasama daripada pihak pengurusan Taman-Taman Sabah.

Selain berjaya mengumpul dana, program ini turut memberi limpahan manfaat kepada komuniti tempatan dari segi promosi kawasan pelancongan serta peluang ekonomi. Peserta bukan sahaja dapat menyumbang kepada tujuan kebajikan, tetapi juga berpeluang menikmati keindahan alam sambil mengeratkan semangat kesukarelawanan.

Kejayaan Charity Hike Ranau 2025 turut mencerminkan komitmen tinggi semua pihak terlibat, termasuk jawatankuasa penganjur, penaja dan peserta yang memainkan peranan penting menjayakan inisiatif ini. Semangat kebersamaan dan keprihatinan yang dizahirkan membuktikan bahawa usaha kecil yang dilakukan secara kolektif mampu membawa perubahan besar kepada mereka yang memerlukan.

Menurut Jack, yang merupakan pemenang tempat ketiga MRK 2024, program berkenaan bukan sekadar sebuah aktiviti riadah, tetapi simbol perpaduan dan kasih sayang terhadap insan lain, satu langkah kecil dengan makna yang besar untuk masa depan pelajar talasemia di Ranau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!


 

This will close in 5 seconds

TV Sabah | News Portal