KOTA KINABALU: 21 Oktober 2025 — Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengumumkan kemas kini jadual rasmi bagi Majlis Konvokesyen UMS Ke-27 dengan pelarasan kepada dua sidang awal.
Menurut kenyataan media UMS, Sidang 1 dan Sidang 2 yang pada asalnya dijadualkan pada 29 November 2025 (Sabtu) kini dianjakkan sehari lebih awal kepada 28 November 2025 (Jumaat).
Perubahan ini dibuat susulan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (DU) Sabah ke-17 yang akan diadakan pada tarikh sama, iaitu 29 November 2025.
UMS dalam kenyataannya menjelaskan, pelarasan jadual itu bertujuan memberi ruang kepada graduan, ibu bapa, warga universiti dan masyarakat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi tanpa menjejaskan kelancaran majlis konvokesyen.
Sidang-sidang berikutnya iaitu Sidang 3 dan Sidang 4 berlangsung pada 30 November (Ahad), sementara Sidang 5 dan Sidang 6 pada 1 Disember (Isnin) akan diteruskan mengikut jadual asal tanpa sebarang perubahan.
Pihak universiti turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua graduan, ibu bapa serta kakitangan UMS atas kesabaran dan sokongan mereka sepanjang proses pelarasan diumumkan.
Pihak UMS turut memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku dan amat menghargai keprihatinan serta komitmen semua pihak dalam memastikan kelancaran majlis konvokesyen kali ini.
Graduan juga disarankan untuk merujuk laman web rasmi konvokesyen UMS bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan majlis berkenaan.
Sumber: Kenyataan Media UMS

